Sebanyak tiga program The Malaysia Traditional Arts Showcase 2016 anjuran Istana Budaya dengan kerjasama Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) diadakan secara percuma mulai 19 Ogos lalu.

Objektif program itu adalah untuk memperkenalkan seni budaya tradisional kepada para pelancong dalam dan luar negara di samping dapat menyumbang kepada industri pelancongan negara.

Istana Budaya sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia diberikan penghormatan untuk memerajui inisiatif tersebut.

The Malaysia Traditional Arts Showcase merupakan penganjuran kali pertama di bawah inisiatif Pelan Transformasi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Program yang telah dilaksanakan ialah teater tradisional Melayu makyong; Dewa Indera Indera Dewa (19 dan 20 Ogos) dan Orkestra Tradisional Malaysia - The Colours of Malaysia (2 dan 3 September 2016) mendapat sambutan yang amat memberangsangkan berdasarkan jumlah kehadiran penonton sepanjang pementasan di Matic.

Usaha menyemarakkan lagi aktiviti seni budaya tradisional diteruskan dengan drama tari bertajuk Puteri Lindungan Bulan yang bakal dipentaskan pada 14 dan 15 Oktober 2016 ini, juga di Matic.

Drama tari yang dibintangi artis tari Istana Budaya itu menampilkan pelbagai jenis tarian tradisional yang sering dipersembahkan di istana.

Antaranya tarian Asyik, tarian Terinai dan tarian Layang Mas sambil diiringi alunan muzik tradisional secara langsung.

Lokman Ghani diberi tanggungjawab sebagai pengarah, dibantu koreografer Istana Budaya, Mohd Sharil Akla, Roszilawati Rahim, Sharifah Raha Syed Mustapha, Samsuraya Sulaiman dan Rudy De Luna.

Puteri Lindungan Bulan mengisahkan mengenai Sultan Sulaiman Shah yang mempunyai dua puteri jelita - Puteri Mariam dan Puteri Zaleha - yang berdarah putih.

Berita kecantikan kedua-dua puteri ini tersebar ke serata tempat sehingga Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam menghantar rombongan meminang.

Berlaku pula pelbagai peristiwa sehingga menyebabkan konflik peperangan serta kematian dan kesemua adegan ini dipaparkan melalui lenggok tari tradisional yang pasti memukau para penonton.

Orang ramai dijemput hadir untuk sama-sama menyaksikan pementasan drama tari itu secara percuma mulai jam 8.30 malam.