Selepas 11 tahun sejak mengadakan konsert secara langsung di London, Pink Floyd baru-baru ini dilapor bersatu semula.

Tetapi mereka kini bukan bersatu kerana muzik.

Sebaliknya, David Gilmour, Nick Mason dan Roger Waters menyatakan sokongan mereka terhadap Women Boat's to Gaza (WBG), sekumpulan wanita dari seluruh dunia yang belayar dari Barcelona ke Gaza bulan lepas.

Kumpulan anjuran Freedom Flotilla itu gagal tiba di Gaza selepas kapal Zaytouna-Olivia yang dinaiki mereka ditahan tentera Israel, Rabu lepas.

Turut ditahan adalah seorang aktivis Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hassan yang terlibat dalam misi kemanusian itu.

Dr Fauziah bagaimanapun dibebaskan dan tiba di Bangkok, semalam.

Laman Facebook Pink Floyd pada hari Rabu menyatakan sokongan David Gilmour, Nick Mason dan Roger Waters kepada wanita berkenaan.

"David Gilmour, Nick Mason dan Roger Waters bersatu dalam menyokong wanita dari Gaza Freedom Flotilla, dan kesal penangkapan haram mereka di perairan antarabangsa oleh Pasukan Pertahanan Israel," jelas kenyataan tersebut.

Roger Waters misalnya telah berkempen bagi perjuangan rakyat Palestin sejak melawat Israel pada tahun 2005.

Sejak itu dia turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya
memboikot Israel dan melepaskan kepentingannya terhadap Palestin.