Johan idam watak antagonis
Karektor atau watak dalam sesebuah filem mampu mempengaruhi fikiran, perilaku dan tabiat manusia.
Bagi pelakon Johan Ariff As'ari, menerusi lakonan dan jalan cerita, sesetengah watak boleh membimbing dan membentuk keperibadian seseorang.
Bagaimanapun watak yang dicipta dalam filem tidak semestinya mengangkat peranan yang baik-baik sahaja kerana realitinya tidak begitu.
“Dengan kepelbagaian ragam manusia yang terdapat di muka bumi maka perlu diwujudkan pro dan kontra dalam sesuatu karakter," kata Johan.
Bahkan menurutnya, watak jahat yang ditonjolkan dalam sesebuah karya juga berupaya memberikan kesedaran dan mesej berguna kepada penonton.
“Justeru, saya percaya walaupun menerusi watak antagonis, tidak mustahil ia juga boleh digunakan untuk menyuntik nilai positif kepada penonton.
“Itu gunanya setiap watak kerana ia diciptakan bukan untuk fantasi semata-mata,” katanya.
Johan atau nama penuhnya Johan Ariff As'ari, 30, mula menempa nama melalui drama bersiri disiarkan menerusi televisyen, Juvana pada 2011.
Dia diberi kepercayaan menggalas watak Botak - pesalah Juvana di Sekolah Wira Bakti - yang pada awalnya bersifat antagonis dan akhirnya berubah menjadi protagonis.
Kecemerlangan Johan membawa karakter Botak menerima impak luar biasa dan tuahnya dalam Juvana berterusan sehingga drama itu diangkat ke layar perak.
Sementara itu, Johan berkata dia kini mengidam untuk memegang watak antagonis sekiranya diberi peluang berbuat demikian.
Ini kerana dia merasakan tiada kelainan dengan karektor yang diberikan sepanjang lima tahun pembabitannya sebagai anak seni.
Malah dia juga berasa seolah-olah terikat dengan imej baik dalam setiap lakonannya, termasuk membawakan watak sebagai ustaz.
Untuk makluman, Johan pernah mendalami ilmu agama di sekolah pondok As-Syuhada, Jambi, Indonesia selama setahun.
“Diharap pengalaman selama lima tahun ini dapat membuka mata kebanyakan pihak untuk menawarkan saya dengan watak jahat.
“Saya sudah penat berlakon sebagai orang baik, sedangkan masa lahir ke industri dulu bermula dengan karakter hitam, Botak.
“Saya dapat bayangkan sekiranya diberi watak antagonis, sudah pasti keazaman ini dapat mewarnai industri tanah air, tidak tipu,” katanya dengan bersungguh-sungguh.

