Halle jawab kenapa sembunyi wajah anak
Dipersoal segelintir pengguna media sosial selepas dididakwa cuba menyembunyikan wajah anaknya, pelakon Halle Berry tampil menjawab sindiran mereka.
Ini terjadi selepas dia memuat naik imej dua anaknya, Nahla Ariela Aubry, 8 dan Maceo Robert Martinez, 3 tanpa menampakkan bahagian wajah mereka di Instagram.
"Saya dapati kamu beberapa kali mengatakannya, jadi biar saya jelaskan. Saya bukan malu tentang anak-anak saya.
"Saya cuba untuk mencari cara kreatif kerana mereka adalah sebahagian besar dalam hidup saya, tetapi saya juga berusaha menetapkan identiti mereka sebagai privasi kerana mereka hanyalah kanak-kanak," kata Halle.
Terdahulu segelintir pengguna media sosial menganggap Halle sengaja menyorokkan muka kedua-dua anaknya itu daripada tatapan umum.
"Mengapa sembunyikan wajah mereka? Mereka adalah kurniaan yang indah mengapa tak tunjukkannya?," soal seorang pengguna yang menggunakan akaun @candyaplz10.
Bagaimanapun, Halle mempertahankan tindakannya berkongsi perkembangan terkini mengenai anak-anaknya itu tanpa mendedahkan wajah mereka.
Menurut pemenang Anugerah Akademi bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik pada 2002 itu, tugasnya sebagai ibu adalah untuk melindungi anaknya sebaik mungkin.
Katanya lagi, hak untuk berkongsi wajah hanya akan diserahkan kepada anak-anaknya apabila mereka dewasa kelak.
“Apabila mereka membesar pada umur tertentu dan sekiranya mahu berkongsi imej di Internet, pilihan itu terletak pada mereka, bukan saya.
“Adakah kamu memahami? Semoga kamu menjalani hari yang indah,” katanya.
Menerusi semakan Malaysiakini hari ini, status Halle itu mendapat lebih 600 komen yang memuji keputusannya, tidak terkecuali mereka yang mempersoalkan tindakannya menjawab reaksi peminat.

