Tanpa segan silu, penyanyi Britney Spears meluahkan perasaan terbuku di hati terhadap Brad Pitt dan mengatakan pernah jatuh cinta dengan pelakon kacak itu.

Malah, Britney juga mengaku gembira kerana Pitt yang kini berstatus duda kembali berada 'di pasaran'.

Memetik US Weekly, pengacara Today Show bertanyakan ciri-ciri lelaki idaman kepada Britney dan dia menjawab jejaka itu adalah seperti Pitt.

“Dia (Pitt) adalah selebriti yang pertama saya jatuh hati dan kini tidak berpunya,” katanya.

Terdahulu, semasa sesi wawancara dengan Diane Sawyer, penyanyi Make Me itu dilihat malu-malu apabila berkongsi cerita mengenai gambarnya yang diambil bersama Pitt pada tahun 2003.

Britney, 34, juga pernah berkata dia gembira apabila Pitt dilaporkan bercerai secara rasmi dengan Jennifer Aniston - isteri pertamanya.

“Semasa pertama kali mengetahui Jennifer Aniston dan Brad Pitt bercerai, telahan pertama memberitahu lelaki itu memikirkan saya,” katanya.

Walaupun begitu, Britney mengakhiri kata-katanya dengan gurauan.

“Dia mungkin tidak memandang saya pun. Tetapi saya tidak kisah kerana kita boleh berangan. Kita boleh berangan!” katanya.

Britney sendiri pernah berkahwin dan bercerai dengan Jason Allen Alexander pada 2004 namun perkahwinan itu dilaporkan tidak sah 55 jam kemudian.

Dia kemudian berkahwin dengan Kevin Federline pada 2004 tetapi bercerai pada 2007.

Angelina memfailkan tuntutan cerai di mahkamah atas alasan tiada persefahaman dengan Pitt dan tarikh perpisahan dinyatakan bermula 15 September lalu.

Walaupun Britney dilihat begitu meminati Pitt, namun perjalanan kariernya baru saja kembali aktif beberapa tahun kebelakangan ini.

Kebarangkalian untuk Britney dan Pitt bersama juga mungkin agak rendah kerana wanita itu seolah-olah tidak memerlukan peranan seorang lelaki di dalam hidupnya.

“Saya gembira kerana bujang sekarang,” katanya.

Meskipun hubungan Britney dan Pitt mungkin mampu mengegarkan dunia hiburan, namun ketika ini keadaan pelakon Fury itu jelas tidak mengizinkannya untuk berkahwin lain.

Hidup Pitt mula terumbang-ambing sejak berpisah dengan Angelina dan ketika ini sedang merebut hak penjagaan enam orang anaknya Maddox, Shilox, Zahara, Pax, Knox dan Vivienne.