Pen Pineapple Apple Pen hampir setaraf Gangnam Style
Sama ada digemari atau dibenci, lagu yang muncul di media sosial baru-baru ini membawa fenomena tersendiri.
Ia cuma lagu ringkas tentang seorang lelaki yang mempunyai pen, nanas dan epal.
Walaupun konsepnya dilihat membosankan malah membuang masa, video yang diviralkan orang ramai itu mungkin menyebabkan jangka 'hayat' lagu Pen Pineapple Apple Pen dapat bertahan selama beberapa tahun di Internet.
Sekiranya lagu dan tarian dalam video itu mampu menarik perhatian, dalam realiti kisah di sebaliknya lebih mengagumkan.
Menurut 9gag.com Pen Pineapple Apple Pen dihasilkan oleh penyanyi dan penulis lirik dikenali sebagai Piko Taro.
Piko adalah individu yang dilihat muncul dalam video itu sambil membuat tarian lucu yang menggambarkannya seolah-olah memegang pen, nanas dan epal.
Memetik laporan Inquisitr, Piko sebenarnya karakter direka oleh pelawak bernama DJ Kosaka Daimou.
Kosaka mula memperkenalkan Piko menerusi rutin lawak berdiri yang dipersembahkan.
Tidak lama selepas diperkenalkan, karakter berkenaan mulai menerima impak luar biasa.
Selepas Piko meraih populariti, Kosaka berazam mengetengahkan karakter itu ke peringkat seterusnya iaitu pasaran antarabangsa.
Daripada reaksi dan respon di media sosial, Kosaka nampaknya berjaya mencapai misinya untuk menjadi sensasi global menerusi Pen Pineapple Apple Pen.
Sehubungan itu, sejumlah besar remix Pen Pineapple Apple Pen juga terhasil dan dikongsi dengan meluas.
Perkara itu mengundang lebih banyak perhatian khususnya kepada lagu asal.
Lagu itu tidak memerlukan masa yang banyak untuk 'melekat' dalam minda seseorang pendengar.
Hal itu berlaku apabila mereka tidak dapat menghayati lirik sebenar yang cuba disampaikan.
Kosaka sebenarnya hanya memilih perkataan secara rawak mengenai subjek dipegang ketika lirik itu dihasilkan.
Ia satu kombinasi yang langsung tidak masuk akal.
Dalam sebuah rangkaian YouTube Pen Pineapple Apple Pen penonton dianggarkan mencecah lebih 72 juta orang dalam tempoh kurang sebulan.
Suka atau tidak lagu yang turut dikenali sebagai PPAP itu hampir setaraf penggemarnya dengan lagu pelik yang menjadi viral di YouTube seperti Gangnam Style, Chocolate Rain dan What Does the Fox Say?

