Berdepan saman, Amy tunggu kata peguam
Satu saman sudah difailkan di mahkamah, dan satu lagi mungkin muncul pula jika tiada perbincangan dilakukan antara pihak yang terlibat.
Namun, vokalis kumpulan Search Amy dilaporkan berkata, mereka sudah bersedia mempertahankan diri di mahkamah.
“Saya tidak terkejut pun. Mereka boleh teruskan (saman), tetapi kami tetap akan mempertahankan diri,” katanya.
Malaysiakini sebelum ini menyiarkan laporan penganjur Konsert 35 Tahun, Afjets Sdn Bhd memfailkan saman terhadap Amy atau Suhaimi Abd Rahman, Noordin Mohd Taib, Hamzah Mohd Taib dan Nasir Daud atas dakwaan pernyataan fitnah dan pelanggaran kontrak.
Saman difailkan terhadap kumpulan rock popular itu berhubung penganjuran Konsert 35 tahun Search yang sepatutnya diadakan pada 30 Ogos lalu.
Sehari kemudian, pemain dram Search Yazid Ahmad pula mendedahkan kepada Malaysiakini mengenai cadangan untuk menyaman rakan-rakannya atas tuduhan pecah amanah.
Katanya saman itu akan difailkan "pada bila-bila masa".
Sebuah stesen penyiaran juga turut menjadi 'sasaran' saman yang akan difailkan Yazid.
Bagaimanapun, keputusan untuk menyaman akan dipertimbangkan jika satu sesi dialog dapat diadakan bersama keempat-empat anggota Search yang lain.
Tidak seperti sebelum ini, Amy berkata mereka tidak bercadang untuk membuat sebarang sidang media bagi menjawab isu berkenaan.
Tambahan pula ketika ini peguam Search, Yusmadi Yusoff, berada di luar negara.
Katanya buat masa ini tiada sidang perancangan apa-apa sedang dirangka.
“Maaf saya tidak mahu memberi komen dan menyerahkan segala yang berkaitan kepada peguam saya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
Difahamkan Yusmadi kini berada di Bangalore India kerana menghadiri satu persidangan antarabangsa di negara itu.
Malaysiakini sudah menghubungi Yusmadi berhubung isu itu dan masih menunggu jawapan daripadanya.

