Kehidupan tidak semudah disangkakan buat pelakon Bollywood Hrithik Roshan yang pernah bergelut dalam fasa kemurungan suatu ketika dulu.

Bagi Hrithik, penyakit mental adalah satu perkara yang tidak sewajarnya didiskriminasikan oleh umum.

Malah katanya, jika masyarakat hendak menyuarakan pendapat mengenai kesihatan mental kepada seseorang yang sedang mengalaminya, seeloknya kaedah bercakap secara kasual digunakan dan bukannya dengan menganggap ia penyakit tidak boleh dirawat.

“Saya pernah mengalami begitu banyak perkara dan pernah mengalami kemurungan.

“Saya juga mengalami kekeliruan sepertimana orang lain tetapi ia perkara normal.

“Kita sepatutnya berbual mengenainya secara kasual,” katanya seperti dilapor portal Hindustantimes.

Aktor berusia 42 tahun itu dilaporkan berkata demikian pada sidang media pelancaran kempen yang menggesa orang ramai untuk menerima dan melawan penyakit mental.

Kata bintang Kaho Naa Pyaar Hai itu, fasa jatuh bangunnya dianggap amat membantu perkembangannya menjadi manusia lebih sempurna.

“Saya pernah menghadapi isu berkaitan masalah peribadi, kita semua begitu.

“Perkara yang baik amat penting begitu juga perkara yang menjatuhkan kerana kita akan berkembang melalui dua perkara itu.

“Apabila kamu jatuh, perkara utama adalah untuk menyedari dan mengakui hakikat itu,” katanya.

Katanya, apabila terlalu banyak berfikir, seorang pesakit mental lebih cenderung memikirkan perkara tidak berfaedah.

Dan pada ketika itulah mereka memerlukan sesuatu atau orang kedua sebagai penasihat dan berkata: “Lihat inilah yang sedang terjadi kepada kamu.”

Hrithik turut berkongsi kisah beberapa orang rakannya turut ‘berperang’ dengan kemurungan dan masalah mental.

Perkara itu yang menjadi pendorong untuknya mengkaji masalah dihadapi lebih mendalam.

“Perkara ini selalu berlegar dalam fikiran saya selama beberapa tahun dan stigma yang terdapat pada sekeliling pesakit mental sering dipersoalkan.

“Saya pun mula bertanyakan beberapa soalan mengenai masalah mental dan membuat kajian.

“Saya tertanya-tanya mengapa sakit perut atau penyakit buah pinggang dianggap tiada apa-apa tetapi masalah mental membuatkan orang ramai jadi takut dan ingin menyembunyikannya,” katanya.