Exists ajak peminat bernostalgia di Singapura
Demi mengembalikan nostalgia, kumpulan yang pernah popular di era 1990-an Exists akan kembali menghiburkan peminat mereka dengan lagu-lagu ‘berhantu’ di konsert imbas kembali yang akan diadakan di Singapura pada 2 Disember depan.
Bagi peminat Exists peluang itu tidak sepatutnya dilepaskan kerana konsert berkenaan dirancang tidak mengikut kebiasaan.
Akan ada sedikit pengubahsuaian disuntik pada setiap lagu yang akan dipersembahkan pada konsert dianggar selama selama sejam itu.
Menurut pemain dram Exists, Ujang, latihan untuk konsert berkenaan dijangka bermula pada November nanti.
“Kami akan memulakan sesi latihan pada bulan November ini kerana ketika ini setiap anggota Exists masih sibuk dengan jadual masing-masing.
“Ezad (vokalis) juga masih dalam proses terapi, tetapi Along sudah memulakan proses praproduksi,” katanya.
Ujang menganggap konsert imbas kembali itu akan menjadi pembuka pintu untuk kumpulan itu bersatu kembali seperti suatu ketika dulu.
Justeru Ujang menjangkakan akan ada permulaan baru mulai tahun depan.
Selain Ujang, Exists turut dianggotai oleh Ezad, pemain bass Musa dan gitaris Along.
Gabungan itu akan beraksi di pentas bagi konsert diberi nama Throwback Exists di The Pavilion Far East Square Singapura pada 7 malam.
Lagu-lagu seperti Mengintai Dari Tirai Kamar, Alasanmu, Jesnita dan Masih Terserlah Ayumu termasuk dalam senarai untuk didendangkan kepada peminat.
Artis baru Khai Bahar akan menjadi penyeri konsert itu kelak.
Kaunter tiket sudah dibuka sejak 29 September lalu.
Untuk makluman, kumpulan Exists pernah menerbitkan sembilan album studio iaitu Exist pada 1991, Anugerah (1993), Diammu Gunung Berapi (1995), Jangan Gentar (1997), Mutan (1998), Ada (2001), Seperti Dulu (2003), Paragon (2004) dan Hits Rakaman Semula (2007).
Kali terakhir Exists mengadakan konsert di Singapura adalah 10 tahun lepas, manakala di Malaysia pada 2013 di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur.
Konsert di Singapura adalah usahasama antara CMX International dan Frankoland Management.
Menurut wakil Frankoland konsert Throwback Exists diadakan bagi mengubat rindu peminat yang sering bertanyakan mengenai band kegemaran mereka.
“Ramai peminat di Singapura yang bertanyakan tentang konsert atau persembahan Exists.
“Permintaan terhadap kemunculan mereka memang tinggi. Maka kami ingin menunaikan pemintaan peminat yang memang rindu untuk menyaksikan kemunculan semula mereka.
“Itu sebabnya juga kami namakan konsert ini dengan nama Throwback Exists, selain membuktikan kumpulan itu masih wujud dan bersedia bertemu peminat,” katanya.

