Yayasan Nobel menghentikan usaha untuk memaklumkan penyanyi dan komposer Bob Dylan mengenai Anugerah Nobel Kesusasteraan yang dimenanginya.

Walaupun cuba dihubungi menerusi pelbagai cara berkali-kali, penyanyi ikon berusia 75 tahun itu masih belum memberikan sebarang respon.

Menurut setiausaha Akademi Swedish Sara Danius, usaha dilakukan pihaknya akhirnya berhenti setakat di situ.

“Ketika ini kami tidak berbuat apa-apa lagi,” beliau dipetik sebagai berkata oleh BBC.

Danius juga berkata pihaknya telah menelefon dan menghantar e-mel kepada pihak yang berurusan dengan legenda folk itu bagi tujuan itu.

“Bagi kami sudah cukup usaha yang dilakukan,” katanya lagi.

Dylan masih belum memberi sebarang kenyataan mengenai hadiah berprestij yang dianugerah kepadanya minggu lalu.

Dia juga menimbulkan kemusykilan apabila dilaporkan mengadakan persembahan di Vegas sejurus kemenangannya diumumkan.

Ketika di Vegas, Dylan langsung tidak menyebut sepatah perkataan pun mengenai anugerah berkenaan.

Penganugerahan pada 10 Dis

Bagaimanapun, setakat ini tidak diketahui sama ada Dylan akan pergi ke Stockholm untuk majlis penganugerahan pada 10 Disember.

“Jika dia tidak mahu datang, dia tidak akan hadir.

“Apa pun, ia akan menjadi satu majlis keramaian yang besar dan anugerah itu tetap miliknya,” katanya.

Dylan pencipta lagu pertama dan menjadi rakyat Amerika yang julung kalinya menerima anugerah itu sejak 1993.

Tahun lepas Hadiah Nobel diberikan kepada pengarang dan wartawan Belarus, Svetlana Alexievich.

Dylan yang juga pelukis dan kadang-kala menjadi aktor itu diiktiraf kerana “luahan puitisnya melalui tradisi lagu Amerika”.

Selain panggilan telefon dan e-mel yang diutus, status mengenai anugerah berkenaan turut diumumkan pada akaun rasmi Dylan.

Penghargaan Hadiah Nobel sebelum ini diberikan kepada ramai tokoh atas pencapaian cemerlang mereka dalam bidang fizik, kimia, perubatan, kesusasteraan, dan usaha damai.

Hadiah masing-masing bernilai AS$930,000 (RM3.9 juta)itu disampaikan setiap tahun pada 10 Disember, bersempena tarikh kematian ahli kimia Sweeden Alfred Nobel.