Selalunya kelincahan aksi Datuk Lee Chong Wei hanya dapat dilihat menerusi kaca televisyen atau di gelanggang, tapi selepas ini kisah kehidupan wira badminton negara itu diangkat ke layar perak pula.

Dua tahun lagi, itulah jangkaan tempoh filem biografi Chong Wei sebelum ia dapat dipertontonkan kepada umum.

Proses uji bakat untuk barisan pelakon akan diadakan Disember ini, kata produser CB Pictures Sdn Bhd, Josiah Chieng.

Menurut Chieng pihaknya masih dalam proses memujuk pemain nombor satu dunia itu supaya turut berlakon dalam filem tersebut.

“Selama tiga tahun, kami memujuk Chong Wei untuk memberikan kami hak memfilemkan kisah hidupnya dan akhirnya beliau bersetuju memberikan kami hak tersebut," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara pemain itu dengan syarikat produksi itu semalam.

Bernama melaporkan, penggambaraan disasarkan bermula pertengahan tahun depan.

Menggunakan judul Menjulang Kejuaraan - untuk ketika ini - filem itu turut diidamkan dapat 'melangkah' lebih jauh, iaitu ditayangkan di peringkat antarabangsa.

Kos pembikinan pula dianggarkan bernilai RM4.5 juta.

Projek itu turut mendapat kerjasama produksi Taiwan - dan faedahnya filem itu merasa peluang untuk menembusi pasaran negara berkenaan.