Bono U2 dikecam kerana dapat anugerah majalah wanita
Tidak seperti kebiasaan, vokalis kumpulan rock dari Ireland U2 Bono menjadi lelaki pertama meraih anugerah 'Women Of The Year' sehingga dikecam hebat di media sosial.
Nama Bono masuk dalam senarai menerima pengiktirafan berkenaan selepas dicalonkan oleh majalah wanita Amerika Syarikat, Glamour.
Walaupun kedengaran agak janggal, Bono sebenarnya banyak memainkan peranan memperjuangkan hak-hak wanita menerusi kempen 'poverty is sexist'.
Penyanyi 'with or without you' yang ditemui media antarabangsa itu berkongsi kesyukuran terhadap anugerah berkenaan.
“Lelaki menjadi penyumbang besar kepada masalah ini, maka kami perlu membabitkan diri untuk memberikan penyelesaian,” katanya seperti dilapor BBC.
Bagaimanapun, Bono menjelaskan dia tidak pasti sama ada layak menerima anugerah itu tetapi berpendapat perjuangan untuk persamaan hak tidak akan berjaya tanpa penglibatan lelaki.
Turut termasuk dalam senarai adalah bekas penyanyi 'No Doubt', Gwen Stefani, aktres Zendaya dan peserta gimnastik sukan Olimpik, Simone Biles.
Pengguna akaun Twitter, Stephanie Peat menulis di laman sosial itu dengan ungkapan sinis.
“Bono dinamakan sebagai wanita paling glamor. Tetapi untuk adil, dengan angka wanita sebanyak 3.7 bilion, pasti sukar untuk mencari yang selayaknya.”
Seorang lagi pengguna akaun @adi_peltz berkata anugerah berkenaan umpama satu gurauan tidak masuk akal.
“Adakah ini salah satu gurauan Halloween? Bono mendapat anugerah Women Of The Year dari majalah Glamour. Tahun 2016 keji,” tulisnya.
Sementara itu, Ketua Pengarang Cindi Leive berkata, proses untuk menamakan lelaki sebagai pemenang memakan tempoh masa bertahun dan keputusan itu sering ditangguhkan.
“Kini segalanya kelihatan mungkin ada perkara dilihat sudah ketinggalan zaman. Terdapat begitu ramai lelaki yang berbuat perkara mengagumkan untuk wanita. Segelintir lelaki memahami dan Bono adalah seorang daripada lelaki itu,” katanya.
Malah keputusan itu turut mendapat sokongan daripada penulis Christiane Amanpour.
Di dalam artikel untuk majalah berkenaan, Christian menulis penghargaannya buat Bono.
“Saya menyebelahi Glamour. Saya fikir Bono adalah calon sesuai sebagai lelaki pertama untuk anugerah itu kerana walaupun dia berusia 56, dia berusaha berbuat kebaikan sepanjang bergiat aktif dalam muzik.
“Menerusi kewujudan Poverty is Sexist, Bono menunjukkan dengan adanya lelaki memiliki kuasa, mereka boleh dan patut menangani isu yang ada,” katanya.

