Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kerana Ramli Kak Lina Pom Pom berkecil hati
Diterbitkan: Β Nov 7, 2016 3:40 PM
β‹…
Dikemaskini: 7:53 AM

'Gegaran' Elly Mazlein akhirnya terhenti di persaingan Gegar Vaganza 3 malam tadi. Namun status penyanyi Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu pula menjadi perbualan ramai.

Disingkirkan atau menarik diri sebenarnya?

Di penghujung program malam tadi memang tiada lagu diperuntukkan kepada Elly ketika semua penyanyi mendapat 'tugasan' masing-masing.

Tanpa lagu, bermakna seseorang peserta itu akan menamatkan perjalanan mereka pada waktu itu juga.

Nampak wajah Elly berubah seketika apabila namanya tidak disenaraikan untuk membawa sebarang lagu pada pertandingan minggu depan.

Di luar Gegar Vaganza 3, Elly menjelaskan keputusan itu dibuat selepas tidak tertahan menanggung komen pedas dilontarkan oleh juri tetap Datuk Ramli MS.

“Saya berkecil hati dengan komen diberikan Tok Ram (gelaran untuk Ramli), ia buat saya sedih sangat.

“Tidak disangka, dia sanggup memberi komen sedemikian, tambahan pula yang datang menonton adalah bapa saya,” katanya.

Dalam persaingan pusingan ketiga malam tadi Elly berduet dengan Acong Sweetchild membawa lagu Jangan Menangis Sayang. Selepas membuat persembahan Ramli MS memberi beberapa teguran kepada Elly.

Selain menyentuh aspek teknikal Ramli MS turut menyatakan "jiwa" Elly menyelamatkannya daripada tersingkir.

“(Isu) teknikal itu, tengoklah atas ihsan kami,” kata Ramli.

Komen biar berpada-pada

Minggu lepas juga Elly, 36, mendapat markah rendah melalui lagu yang ditugaskan untuknya - Perawan Atau Janda.

Menurut Elly - atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi - dia menyertai program realiti itu kerana ingin memperbaiki kehidupan, bukan bagi mendapatkan simpati sesiapa.

Katanya dugaan dilalui banyak menambah pilu di hati terutama ketika dirinya masih dihimpit dengan isu perceraian dengan pengarah drama Azmi Hatta.

“Saya sudah tidak lalu berdepan bermacam-macam dugaan seperti sebelum ini lagi.

“Saya ni emak tiada, mengandung sendiri dan kena cerai. Itu yang saya sedih dengan komen Tok Ram,” katanya seperti dilapor Malaysia Gazette.

 

 

Menjelaskan lebih lanjut, penyanyi itu berkata dia tidak berminat untuk menyertai kembali program berkenaan sekalipun diberikan imuniti oleh penaja utama Datuk Seri Vida.

Pun begitu, Elly yang terkenal dengan julukan Kak Lina Pom Pom itu tidak menyimpan sebarang perasaan dendam terhadap Ramli MS sebaliknya masih menghormati kredibiliti komposer tersohor berkenaan.

Sementara itu, menerusi semakan Malaysiakini pada media sosial janda dengan anak satu itu, sebahagian besar peminatnya meluahkan perasaan tidak berpuas hati terhadap sikap dipamerkan Ramli MS.

Menurut pengguna akaun @nxbiiilxh pula dia bercadang untuk menghentikan tontonan terhadap program berkenaan.

“Dah tak ada mood nak tengok Gegar Vaganza cuz (sebab) tak ada @iamellymazlein. Saya (harap) kak Lina boleh masuk balik. Terpulanglah Tok Ram nak cakap apa sebab dia pun tak (boleh) nyanyi (menyanyi). Anyway I will support u (kamu) kak Lina,” tulisnya.

Seorang lagi pengguna menggunakan akauan @radziothman berkata: “Nak komen biarlah berpada-pada. Jangan sampai kecikkan hati orang @tokram_ramlims.”

Lihat Komen
ADS