Bagaikan tidak berpenghujung, nasib menimpa sebahagian pembikin drama Melayu dilihat semakin tenat apabila golongan itu gagal mendapat tempat di hati pengendali rangkaian televisyen tempatan.

Sepatutnya peluang dibuka lebih luas dengan adanya rangkaian stesen televisyen yang banyak, sebaliknya terdapat syarikat produksi tempatan berputih mata apabila pembahagian slot didominasi penerbit tertentu.

Akhirnya, kebanyakan syarikat produksi sejak tiga tahun kebelakangan ini terpaksa gulung tikar ekoran tiada projek.

Di antara yang mengeluh dan resah dengan keadaan itu adalah pengarah dan penerbit Rashid Sibir yang tertanya-tanya dengan ketelusan pembahagian slot oleh sesebuah stesen televisyen.

“Pembahagian slot untuk 100 hingga 200 episod misalnya diberikan hanya kepada seorang penerbit malah peluang itu tidak dibuka kepada orang lain," ujarnya.

Katanya, keadaan itu berbeza dengan dahulu apabila seseorang penerbit dijemput untuk menghantar proposal dan karya akan dinilai sekiranya layak.

“Bagaimanapun, keadaan seperti itu tidak berlaku kerana tidak semua dapat merasa peluang sama adil,” katanya.

Bukan tuding jari

Rashid ditemui pada sidang media mengenai isu itu yang diadakan di Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir adalah penerbit dan pengarah terkenal Othman Hafsham dan Heykal Hanifah.

Heykal turut mengiyakan kenyataan Rashid dengan menyatakan sekiranya slot diisi oleh penerbit berbeza, penonton tidak mudah muak dengan pilihan drama disajikan kerana terdapat kepelbagaian pada genre.

Tujuan mereka bertiga meluahkan rintihan itu bagaimanapun bukanlah untuk menuding jari atas kesalahan sesiapa.

Ketiga-tiga pengarah berpengalaman itu menegaskan, demi berlaku adil, sewajarnya ada pihak memandang serius dan membincangkan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah yang menghimpit mereka.

Jika tidak, kemelut terbabit akan terus membunuh syarikat penerbitan yang cuba bertahan dalam industri dalam keadaan ekonomi yang semakin membebankan.

Tiada hak tentu harga

Turut menjejaskan syarikat penerbitan kata Rashid adalah mengenai harga bayaran drama yang tidak setimpal dan seiring dengan kenaikan kos sara hidup.

“Kita tidak mahu keadaan ekonomi yang serba gawat ini, terpaksa menghadapi kesukaran kenaikan minyak tetapi harga drama masih di takuk lama.

“Hal itu terjadi apabila produksi tidak diberikan hak dalam menentukan harga drama masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Othman pula berkata, kebanjiran produksi baru sepatutnya membantu merancakkan lagi industri di samping golongan lebih berpengalaman.

“Saya sudah lama berada dalam industri yang sepatutnya ada perkembangan tetapi jelas ia dilihat statik.

“Orang tua macam saya konon dianggap tidak boleh dipakai. Saya masih boleh berkarya dan dengan pengalaman yang ada ia boleh dihuraikan.

“Sepatutnya syarikat lama dipelihara dan syarikat baru dimajukan. Namun pada masa sama kita juga tidak mahu syarikat baru dimajukan dan syarikat lama pula dikuburkan,” katanya.