Bekas suami kepada aktres Hollywood Angelina Jolie, Billy Bob Thornton mengakui dia masih mengenangkan detik kegagalan pernah mereka lalui bersama.
Pelakon itu berkata, sepanjang usia perkahwinannya bersama Angelina, dia tidak pernah menjadi lelaki sempurna untuk wanita berkenaan.
Thorton merupakan suami Angelina pada tahun 2000 tetapi berpisah secara rasmi tiga tahun kemudian.
Selepas bercerai, Angelina berkahwin dengan pelakon Brad Pitt, manakala Thornton pula berkahwin untuk kali keenam dengan Connie Angland.
Namun perkahwinan Angelina dan Pitt juga tidak kekal lama apabila pasangan itu dilaporkan bercerai tahun ini.
Bercakap kepada media, Thornton mendedahkan gaya hidup dia dan pelakon 'Lara Croft: Tomb Rider' itu sering tidak sehaluan ketika menjalani kehidupan berrumahtangga.
Menurut Thornton, Angelina lebih memfokuskan hal berkaitan politik global dan kerja-kerja kemanusiaan, manakala dia lebih gemar kehidupan yang santai.
“Saya tidak pernah berasa cukup baik buat dirinya (Angelina). Saya benar-benar tidak selesa dikelilingi orang kaya dan penting, itulah diri saya,” katanya seperti dilapor Mirror.co.uk.
Dalam pada itu, Thornton memberitahu anggota badan yang pernah dicacah tatu sebagai ekspresi cintanya pada Angelina masih kekal hingga ke hari ini.
“Lihat, ia masih kekal di situ dan kamu masih boleh melihat namanya (Angelina),” katanya.
Kenyataan Thornton itu keluar selepas Pit dibebaskan atas dakwaan mendera anak sulungnya Maddox, 15, di dalam jet peribadi.
September lalu, Angelina memfailkan perceraian dengan Pitt selepas dua tahun berkahwin dan 12 tahun berkenalan.
Mereka dilapor bercerai atas alasan "perbezaan yang tidak dapat diatasi" dan "untuk kebaikan keluarga".
Pekerja sosial Los Angeles yang menyiasat insiden Pitt mendera anak tiritnya itu akhirnya menutup kes terbabit selepas mendapati “tiada bukti” untuk mengaitkan kes berkenaan.
Angelina sebelum itu memohon penjagaan sepenuhnya untuk enam anaknya, termasuk tiga anak angkat mereka, manakala Pitt pula menuntut hak penjagaan bersama.
