Tiada diskusi punca isu gunting filem berlarutan
Isu tapisan filem banyak diperkatakan dengan meluas tetapi nampaknya ia masih belum berhasil menemui titik noktah.
Ada pihak dilihat menyokong penuh tindakan Lembaga Penapis Filem (LPF) yang berada di bawah Kementerian dalam Negeri tetapi pada masa sama ada pula penggiat terus-menerus mempertikaikan kewajaran dan kesesuaian syarat dikenakan pihak terbabit.
Bagi pengarah filem Dain Said, kekeliruan itu boleh diatasi melalui sesi diskusi diadakan dengan semua pihak berkepentingan secara langsung dan ketetapan yang diambil selepas itu mestilah konsisten.
"Kita perlu tangani filem sebagai suatu industri kerana ia menyumbang berjuta-juta ringgit kepada kerajaan.
"Kita tak perlukan cakap-cakap daripada pak lebai atau mana-mana pihak yang sentiasa takut itu ini, seperti menyentuh sensitiviti atau seumpamanya.
"Ia belum pun sentuh sensitiviti (sebab belum ditayangkan) tapi kita sudah isytiharkan kita takut kepada macam-macam hal.
"Siapa mereka yang dapat menentukan masa depan (sesuatu yang belum terjadi)?" soalnya.
Tak bunuh tapi bantut
Dain hadir di pejabat Malaysiakini untuk sesi wawancara baru-baru ini.
Sikap seumpama itu kata Dain mengakibatkan industri perfileman sukar matang.
Namun jangan salah sangka. Kenyataan Dain itu bukan dibuat kerana dia kecewa filemnya menjadi mangsa 'guntingan' LPF.
Malah filem terbaru Dain, Interchange, diluluskan LPF tanpa sebarang tapisan atau potongan. Filem aksi thriller itu akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 1 Disember ini.
Isu sesebuah filem gagal melepasi LPF atau menjadi mangsa saringan badan itu selalu menjadi 'beban' kepada penerbit. Terbaru menjadi mangsa ialah filem dibintangi Adibah Noor, Fundamentally Happy.
Penerbit filem yang pernah menghasilkan Kembara Seniman Jalanan, Zarul Albakri juga menghadapi masalah sama apabila filemnya Spilt Gravy on Rice sudah terperam bertahun-tahun kerana gagal memenuhi kehendak LPF.
Difahamkan filem berkenaan tidak mendapat kebenaran daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang menganggotai panel penilai LPF.
Malaysiakini menulis kepada LPF kira-kira 10 bulan lalu untuk mendapatkan penjelasan mengenai syarat-syarat yang dikenakan tetapi sehingga kini soalan yang dihantar belum dijawab.
Dain berkata orang ramai perlu menerapkan budaya berbincang untuk memahami dan mencari sesuatu penyelesaian.
Mengakui kegagalan itu tidak semestinya membunuh industri, Dain yang sebelum ini menghasilkan Bunohan berkata sebaliknya ia akan membantutkan perkembangan perfileman negara.
"Kita tidak membangunkan budaya berdialog dan berkongsi fikiran, mendengar pandangan orang lain dan bersetuju atau tidak bersetuju," katanya.
Dengan tapisan, kemajuan tidak semestinya terhalang kerana itu yang berlaku di negara asing.
Negara Iran, China dan Britain misalnya, bagi Dain, pihak berkuasa di negara itu mempunyai peraturan tapisan yang sangat ketat namun tidak menghalang lahirnya beberapa filem hebat.
"Nak bercakap tentang tapisan, kita kena faham konteksnya.
"Saya yakin pembikin filem faham keperluan tapisan tetapi yang menjadi isu ialah proses tapisan berkenaan," katanya.

