Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Biarpun gagal mendapatkan imuniti di peringkat suku akhir Gegar Vaganza 3 (GV3) minggu lalu, penyanyi Elly Mazlein tetap akan ‘masuk’ pada pusingan akhir.

Kemunculan Elly bukan untuk menjadi peserta di atas pentas, tetapi sebagai sebahagian penonton yang datang memberi sokongan.

“Mestilah saya akan menghadirkan diri walau tidak dapat memasuki pusingan akhir GV3 meskipun pernah menarik diri dan tidak dapat imuniti.

“Saya masih teringat kemesraan yang terjalin di antara semua peserta dalam program.

“Kami seperti adik-beradik dan kerana itu saya ingin datang menyaksikan persembahan kemuncak itu nanti,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagi Elly atau nama penuhnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 36, "kegagalannya" tidak bermakna dia perlu mengetepikan profesionalisme.

Elly yang juga seorang pelakon menganggap GV3 sebagai sebuah platform untuk merancakkan populariti dan kariernya sebagai artis.

Katanya, dia menyedari program realiti memang terdapat adat menang dan kalah, namun mahu terus menjalin hubungan baik antara peserta pertandingan.

Ahad lalu kuota imuniti GV3 diberikan kepada peserta Gimie oleh kuasa penaja Datuk Seri Vida sejurus selepas dua nama diisytiharkan terkeluar.

Seorang lagi peserta disingkirkan pada minggu keenam itu adalah Zur Eda.

Elly yang lebih mesra disapa Kak Lina Pom Pom sebelum ini pernah mengumumkan menarik diri daripada meneruskan perjuangannya sebagai peserta GV3 pada minggu kelima. 

Tiada lagi aksi Elly di pentas GV3 membuatkan peminatnya berasa kecewa selepas bertungkus-lumus mengundi namanya di media sosial program berkenaan termasuk akaun Facebook Seri Vida.

Peminat Elly menaruh harapan agar penyanyi itu dimasukkan semula dalam pertandingan itu.

“Perkara begini kena akur walaupun saya nampak kesungguhan peminat yang berharap saya dapatkan imuniti.

“Tetapi macam mana usaha pun, jika sudah tertulis bukan rezeki nak buat macam mana lagi.

“Sungguh berasa terharu dengan usaha peminat dan puji mereka yang tegar menyokong karier saya,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS