Raysha Rizrose nafi tak pakai coli
Pelakon dan pengacara Raysha Rizrose menerima kecaman daripada netizen kerana dikatakan berpakaian terlalu seksi sewaktu menghadiri Anugerah Skrin 2016 (ASK2016) baru-baru ini.
Ia berlaku selepas fotonya dimuat naik di Instagram oleh kakaknya, Nelydia Senrose yang juga seorang pelakon popular.
Bagaimanapun, Raysha menafikan komen-komen yang dilontarkan kepadanya dan menyifatkan mereka tidak tahu perkara sebenar.
“Terus-terang, geli hati pula membaca komen mengenai gambar saya yang dimuat naik kakak saya, Nelydia di Instagram. Terutama komen yang cuba menasihati saya dan sebagainya.
“Ramai juga yang mengatakan saya tidak memakai coli padahal saya pakai. Cuma baju itu memang begitu potongannya kerana kainnya tebal dan kalau saya pakai coli atau tak, ia tetap akan kelihatan begitu.
“Baju itu pun pilihan kedua kerana gaun yang patut saya gayakan rupanya agak sempit. Maka, saya terpaksa pilih gaun terbabit di saat akhir,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Semakan Malaysiakini mendapati Nelydia telahpun menyahaktif ruangan komen pada foto berkenaan di Instagram.

