Sambutan Keith Kee Couture gah 15 tahun
Seni reka pakaian di Malaysia bukannya mudah untuk dikecapi di arena antarabangsa, namun perjalanan buat Keith Kee selama 15 tahun amat berbaloi untuknya apabila memenangi anugerah 'Best Showcase Designer of the Year' di Mercedes Benz STYLO Asia Fashion Festival tahun ini.
Walaupun dianggap sebagai salah seorang veteran dalam industri fesyen, anak kelahiran Pulau Pinang ini memulakan kariernya sebagai pereka fesyen dengan mempelajari seni reka cheongsam.
Fesyen tradisi cheongsam amatlah rumit dan memerlukan kemahiran yang mencukupi untuk menghasilkan sepasang cheongsam yang dihiasi sulaman tangan dengan motif dan bunga yang terperinci.
Keith Kee baru sahaja melancarkan koleksi musim bunga dan musim panas di Paris dan beliau menganggap pengalaman itu memberi galakan dan inspirasi kepadanya untuk berusaha lebih gigih lagi.
Kee juga pernah menjadi pereka khas untuk isteri presiden Sri Lanka dari tahun 2011 hingga 2014. Wanita pertama Sri Lanka, Shiranthi Rajapaksa menjemput Kee secara peribadi sebagai pereka pakaian harian dan makan malam kerana kagum dengan kemahirannya.
Pada 21 November yang lalu, Keith Kee menyambut ulang tahun ke-15 di Mandarin Oriental KLCC dengan acara fesyen yang memperagakan sebanyak 60 koleksi rekaannya yang turut dihadiri oleh pereka fesyen tanahair dan juga selebriti-selebriti tempatan dan luar negara.
Sebanyak 60 koleksi pakaian Keith Kee Couture diperagakan malam itu dalam lima bahagian. Bahagian pertama yang dinamakan 'Transformation' memperagakan gaun parti dalam tona pastel yang berubah menjadi gaun malam dalam sesaat.
Bahagian kedua pula diserikan dengan persembahan violin oleh Dennis Lau yang digandingkan dengan Atilia Haron menyanyikan hit lagenda Michael Jackson, 'Rock With You'. Set kedua menampilkan gaun parti bertemakan warna gading dan emas.
Tiga lagi bahagian acara fesyen itu juga menampilkan rekaan santai, sut lelaki dan pengantin. Model-model yang turut serta dalam acara ini termasuk 20 finalis lelaki dan wanita dari Runway Model Search Asia 2017.
Koleksi sambutan ulang tahun ini dinamakan 'A Mark of the Masterpiece' kerana setiap rekaan pakaian oleh Kee untuk pelanggannya adalah tersendiri dan mempunyai keunikan tersendiri.

