Bacaan Yasin bagaikan menjadi azimat dan penguat semangat buat Syamsul Yusof mencabar penyanyi lain yang lebih terkenal pada saingan akhir Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) yang bakal diadakan pada 22 Januari depan.

Mempertaruhkan Kalah dalam Menang yang didendangkan bersama Mawi, lagu itu diumum bakal berentap dengan ciptaan komposer lain di acara kemuncak AJL31.

Menanggapi berita gembira itu ibu Syamsul, Datin Patimah Ismail, mempunyai cara tersendiri untuk mengiringi pencalonan anaknya.

Kata Syamsul yang juga seorang pengarah, ibunya sentiasa menyokong teguh perjalanan kariernya sebagai anak seni.

“Saya beritahu berita gembira itu kepada mak menerusi WhatsApp. Dan dia berkata: Alhamdullillah. Dia siap baca Yasin,” katanya.

Syamsul ditemui selepas majlis pratonton filem terbaru arahan Syafiq Yusof bertajuk Desolasi di Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Untuk menjadi juara AJL31, Kalah dalam Menang perlu bersaing dengan 11 lagu lain antaranya Lelaki Teragung (Dayang Nurfaizah), Terakhir (Sufian Suhaimi), Di Amaran Mama (Hazama & The Penglipur Lara), Setia (Elizabeth Tan Feat Faizal Tahir) dan Hang Pi Mana (Khalifah).

Kalah dalam Menang adalah lagu runut bunyi untuk filem Munafik - naskhah yang membuatkan Syamsul berjaya menggondol Anugerah Filem Nasional dan Pengarah Terbaik.

Naskhah itu juga berjaya memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik, Penyuntingan Terbaik dan Penataan Bunyi Terbaik.

Rasa kerdil berbanding lain

Bidang seni suara sebenarnya bidang yang telah lama diimpikan oleh Syamsul, namun disebabkan kurang keyakinan diri dari segi sambutan, dia sekadar memendam perasaan berkenaan.

Namun, Syamsul tidak menolak cita-citanya untuk menjadi penyanyi rap Islamik dan memperjuangkan lagu-lagu berunsur ketuhanan.

Biarpun terpilih menjadi antara peserta peringkat akhir, Syamsul berasa kerdil dicalonkan untuk bersaing dengan penyanyi lain yang lebih terkenal.

“Apabila nama diumumkan pada nombor ke-10 (daripada 12 pencalonan), saya terdiam.

“Kemudian nama saya diumum masuk separuh akhir pula, saya rasa ia sudah memadai.

“Sebenarnya saya rasa kecil sebab tercalon AJL, ya siapalah saya yang masih baru sebagai komposer tiba-tiba jadi rapper pula,” katanya.

Bercakap mengenai corak persembahan yang akan dibuat pada malam anugerah berkenaan, Syamsul tidak menolak sekiranya dia dan Mawi akan melakukan sedikit kejutan buat penonton pada malam AJL31 itu nanti.

Dalam mencuba pelbagai bidang, Syamsul meluahkan dia antara yang tidak terlepas daripada dituduh orang yang tamak haloba.

Pun begitu, Syamsul tidak melihat perkara itu sebagai penghalang untuk dia meneruskan apa yang diimpikan.

“Ketika umur saya sekarang seakan ada semangat baru, sebelum ini banyak memikirkan apa orang lain akan cakap, tetapi benda itu menghancurkan saya.

“Akhirnya saya tidak menjadi diri sendiri, jadi biarlah orang nak cakap apa pun tidak mengapa,” katanya.