Tanpa perlu mencanang konsert sulung mereka di dada media, sambutan peminat buat band dari Indonesia Payung Teduh memang boleh dibanggakan.

Terkenal menyanyikan lirik segar serta indah dalam setiap lagu mereka, Payung Teduh membuktikan mereka memiliki pengikut tersendiri.

Biarpun berasal dari seberang majoriti pembeli tiket untuk konsert mereka semalam adalah terdiri daripada rakyat tempatan.

Pemilihan Auditorium Muzik Bentley sebagai lokasi konsert pula dirasakan memang tepat kerana ia menyediakan ruang paling sesuai untuk lagu-lagu Payung Teduh yang sebahagiannya dipersembahkan dalam versi akustik dan orkestra.

Bagaimanapun dari aspek lain ia mengundang kelemahan kerana keluasan yang tidak sepadan dengan kehadiran penonton menjadikan mereka seolah-olah berada dalam tong sardin.

Bagi band yang pertama kali mengadakan konsert, penganjur pula dilihat tidak membuat jangkaan yang betul terhadap kehadiran penonton.

Namun hal itu mungkin tidak menjejaskan keghairahan peminat Payung Teduh apabila dilihat pada reaksi mereka menggoyang-goyangkan badan dan menyanyi seiringan dengan vokalis band itu pada setiap lagu dipersembahkan.

Payung Teduh menyampaikan 15 lagu antaranya Buat Perempuan Yang Sedang Dalam Pelukan, Resah dan Berdua Saja.

Penyanyi band Hujan Noh Salleh diundang membuka persembahan dan beberapa ketika kemudian dia muncul semula di atas pentas untuk mengampaikan beberapa lagu bersama Istiqamah.

Boleh dikatakan muzik dibawakan oleh empat anggota Payung Teduh - Mohammad Istiqamah (vokalis dan penulis lirik) Alejandro Saksakame, Comi Aziz Kariko (basis) dan Ivan Penwyn (ukulele) - mula diterima ramai di Indonesia walaupun kurang mendapat perhatian media arus perdana Malaysia.

Persembahan bermula lebih kurang jam 8 itu berakhir pukul 10 malam.

Sebelum melabuhkan tirai konsert malam tadi dengan lagu Angin Pujaan Hujan versi orkestra Istiqamah sempat berinteraksi seketika bersama peminat.

"Terima kasih buat semua ia sebuah pengalaman tersendiri buat kami yang pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia.

"Semoga kalian diberkati dan diberi kebahagiaan hingga jumpa lagi di lain waktu. Ada kekhilafan dimaafkan semoga bisa bertemu kembali," katanya.