Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Sebelum puas dan lega Nina tabah harungi 'pedih'

Perkara paling mengecewakan Azharina apabila menyertai pertandingan Gegar Vaganza 3 (GV3) adalah masa yang sepatutnya diluangkan untuk satu-satunya anak dia terpaksa dikorbankan.

Tapi pada sisi lain, hal itu mampu mendatangkan kelegaan dan kepuasan buat Azharina kerana dirinya terpilih sebagai pembawa pulang gelaran juara program realiti berkenaan.

Tidak sekadar trofi dan wang ringgit. Ada pelbagai lagi imbuhan lumayan disediakan penganjur.

“Nombor satu - paling besar - adalah masa untuk anak saya.

“Nina pernah sampai ke tahap tidak sempat berjumpa dengan dia bukan sehari tetapi hingga berminggu-minggu,” katanya kepada media malam tadi.

Untuk makluman, Azharina atau nama penuhnya Azharina Azhar sering membahasakan dirinya sebagai Nina.

Penyanyi kelahiran Kota Kinabalu Sabah itu ditemui selepas konsert akhir GV3 berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Kata penyanyi Elegi Sepi itu, kasih kepada anaknya Rahmat Azharin Aziz Mohamad Faizal, 2, bagaikan sentiasa menjadi bayang yang meneduhkan dirinya.

Ketika membuat persembahan pun, dedah Azharina, tiada wajah lain sering berlegar di fikiran selain anak lelakinya itulah.

“Apabila Nina menyanyi Mama Aku Ingin Pulang (malam) tadi, saya membayangkan wajah Rahmat, sebab dialah yang mendorong saya untuk berusaha apa saja mencari rezeki.

“Saya berjaya menjiwai lagu itu disebabkan Rahmat,” katanya.

Jadul padat hingga 2017

Azharina mendirikan rumahtangga dengan usahawan Datuk Shukri Muhamed pada 2007 namun ia menghadapi gelora dan akhirnya bercerai tiga tahun kemudian.

Dan sama seperti wanita lain, perkahwinan itu membekas jauh ke dalam hatinya.

“Itu jalan hidup saya, pernah berkahwin, pernah rasa manis dan sangat sakit, pernah pada satu ketika ingin berbalik semula, tetapi kini saya ada kehidupan sendiri,” katanya.

Ini adalah pengalaman kedua Azharina merasai kemanisan bergelar juara.

Sebelum ini Azharina adalah juara Bintang RTM 2001. Pada pertandingan itu, Azharina menewaskan Siti Sarah dan Misha Omar.

Sementara itu belum pun bergelar juara GV3, rezeki Azharina nampaknya mencurah-curah. Tawaran yang pelbagai bagaikan tidak pernah putus sejak awal pembabitannya dalam siri berkenaan.

Azharina berkata, jadualnya padat hingga tahun depan.

“Jadual saya penuh hingga Mac ada konsert di Indonesia dan Filipina.

“Saya dapat tawaran konsert solo di Nusajaya di Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada Januari dan kemudian ke Filipina dengan Julfekar,” katanya.

Bagaimanapun, timbul persoalan sama ada Azharina kini benar-benar mampu bersaing dalam industri yang tidak menentu.

“Saya nak hiburkan peminat yang dah lama rindu saya untuk menyanyi semula.

“Semangat untuk bergiat aktif semula dalam industri mencecah pada tahap hingga 120 peratus," katanya.

Mengenai tekanan yang mungkin dihadapinya selepas bergelar juara, Azharina berkata, ia tidak sehebat semasa membawa imej sebagai pemenang Bintang RTM.

Tetapi tekanan itu tetap ada, tetapi katanya, dalam bentuk berbeza.

"Semasa juara Bintang RTM saya anak dara, berumur 16 tahun. Sekarang dah jadi mak dara, lagi bertambah tekanan sebab nak cari rezeki untuk nafkah sendiri dan anak,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS