Sebelum nikah Acha mohon restu orang tua
Kehidupan pelakon Acha Septriasa bakal mengalami perubahan sesudah diijab kabul dengan suaminya Vicky Kharisma.
Sebelum melangkah ke alam berumahtangga, Acha terlebih dahulu memohon restu daripada kedua orang tuanya.
Dalam suasana gembira diiringi linangan air mata, Acha meluahkan kata-kata sambil membaca teks ucapan di dalam genggamannya.
“Papa yang Acha sayangi, pertama Acha mohon maaf, atas dosa-dosa yang pernah Acha lakukan.
“Acha tak mampu membalas semua yang pengorbanan papa dan mama kepada Acha. Hanya kepada Allah, Acha memohon kesihatan dan membalas budi baik papa dan mama," katanya.
Bintang filem Heart itu berkata demikian beberapa minit sebelum dinikahkan dengan Vicky Ahad di Hotel Le Meridien, Jakarta Ahad lalu.
Upacara pernikahan itu merungkai segala tanda tanya mengenai pemuda yang berjaya mengisi ruang di hati Acha selama ini.
Acha, 27, sebelum ini hanya diketahui menjalin cinta dengan pakar IT yang bekerja di sebuah syarikat yang berpangkalan di Australia.
Sambil menghela nafas dan menyeka air mata di pipi, Acha kemudian menyambung bicaranya.
“Siang ini Acha memohon doa dan restu dari papa dan mama ingin berumah tangga dengan Vicky Kharisma. Acha mohon doa restu semoga rumah tangga selalu rukun sejahtera lahir dan batin, sakinah mawadah dan warahmah serta penuh berkah dari Allah SWT.
“Apabila papa dan mama mengizinkan, Acha ingin melaksanakan ijab kabul sesuai syariat Islam. Acha memohon agar papa dan mama mengabulkan permohonan ini,” katanya.
Permintaan Acha untuk bernikah dan memohon maaf itu disambut oleh bapanya Sagitta Ahimsha dengan restu.
Sebagai bapa kepada Acha, memberikan kemaafan pada setiap salah laku anaknya itu sudah menjadi kebiasaan baginya.
“Anakku Acha yang papa sayangi, kami selalu memaafkan kesalahanmu dari kecil hingga dewasa. Papa mama setuju dan memberikan restu rencanamu berumah tangga dengan Vicky. Serta memberikan restu untuk pernikahan hari ini,” katanya.
Menetap di Sydney
Selepas sah bergelar isteri, Acha merancang untuk berehat seketika dari dunia hiburan untuk menetap di Sydney, Australia bersama suami.
“Insyaallah ikut. Akan berehat sebentar. Paling lama sampai April selepas tayangan filem saya,” katanya.
Ibu Acha Rita Emza pula sempat menitipkan pesan buat anaknya itu.
Nasihatnya agar Acha dan suaminya saling menyokong antara satu sama lain dan menjalani kehidupan berumahtangga dengan penuh harmoni.
“Acha pasti sudah komunikasi banyak dengan suaminya. Kalau dia teringin untuk kembali berlakon, dapat tawaran film yang dia inginkan, mudah-mudahan Vicky merestuinya. Vicky juga berjanji mendukung karier isterinya.
“Sokong di mana suamimu bekerja kerana di sana dia mencari nafkah. Semoga Acha sesuai menetap di situ,” katanya.

