Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Kelainan bakal dipaparkan melalui naskhah Mia Tiara adalah jalan penceritaan yang bukan semata-mata bercorak hiburan, tetapi mengangkat imej pelakon muslimah dalam bentuk komersil Islamik.

Untuk itu, pengarah Norazah Sahud berkata, pelakon yang mempunyai imej bersesuaian amat dicari-cari syarikat Tenview Sdn Bhd selain mereka sememangnya mengenakan hijab.

“Sebolehnya, kami (syarikat penerbitan) berhasrat untuk mengambil pelakon bertudung di dunia nyata kerana kalau tidak nanti tiada pemahaman dalaman.

“Kalau bertudung ketika berlakon, ia hanya lakonan semata-mata, sebaliknya jika benar-benar berhijab ada suntikan agama.

“Lagipun kami ingin mengetengahkan kisah wanita muslimah dan sekiranya timbul bab syariat senang nak berbincang,” katanya.

Norazah ditemui pada majlis pelancaran Mia Tiara bersama pihak media di Restoran Istana Bamboo, Ulu Klang, semalam.

Menurut Norazah, buat masa ini, pihaknya sudah sebulat suara memilih Fathia Latiff sebagai calon pelakon wanita utama Mia Tiara.

Bagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu Norazah masih perlu menunggu kata putus daripada pelakon itu.

“Masih ada perkara perlu dibincangkan, sekiranya Fathia bersetuju, kami amat berbesar hati maka watak itu akan menjadi miliknya.

“Jika tidak, kami membuka peluang itu kepada semua wanita bertudung di luar sana untuk hadir ke sesi uji bakat,” katanya.

Antara barisan pelakon lain yang akan turut menjayakan Mia Tiara adalah Siti Eja, Amar Asyraf, Faizal Hussein, Izzue Islam, Julia Ziegler, Hafreez Adam dan Nadia Shahab.

Mia Tiara diilhamkan dari dunia glamor golongan model yang memperagakan busana muslimah.

Filem yang bakal memulakan pengambaran pada bulan April 2017 itu bukan saja menampilkan sisi glamor dunia peragaan tetapi ia turut mempamerkan unsur kemanusiaan, kasih sayang, hubungan kekeluargaan, pengorbanan dan cinta sejati.

Watak Mia mengisahkan seorang gadis kampung terpaksa membawa ibunya melarikan diri ke Kuala Lumpur demi menyelamatkannya dari keganasan bapanya.

Untuk makluman, Tenview - syarikat perfileman yang bergiat aktif lebih 20 tahun - berpengalaman menerbitkan drama, dokumentari dan majalah. Ia pernah memenangi Anugerah Drama Rantaian Terbaik di Anugerah Skrin dan Pesta Filem Tokyo, Jepun.

Menurut Norazah, naskhah itu bakal menjadi satu-satu karya tempatan yang mengangkat kisah dan gaya hidup wanita berhijab dalam dunia fesyen.

Dan sebolehnya, hasrat Norazah yang pertama kali membikin filem adalah kejayaan Mia Tiara dapat diraih selain berharap kerjasama dijalin antara pelakon dan pengarah Ahmad Idham bakal membantunya merealisasikan impiannya itu.

Ahmad Idham akan bertindak selaku mentor kepada Norazah dari segi persediaan filem.

“Selama 15 tahun saya memendam hasrat untuk menghasilkan filem tetapi saya takut hinggalah Ahmad Idham memberi sokongan moral. Ada keikhlasan yang saya lihat di situ.

“Iyalah nak hasilkan filem dan naskhah bagus begitu menakutkan, kalau tidak laku syarikat boleh bungkus,” katanya.

Lihat Komen
ADS