Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Ketika orang ramai digesa untuk berfikiran terbuka dan maju, langkah menganggap kartun sebagai 'musuh' hanya akan melahirkan generasi bisu, kata kartunis terkenal, Ujang.

Menurut pelukis yang mencipta watak ikonik Atuk itu, dengan tindakan keras ke atas kartunis yang lantang mengkritik kerajaan dia bimbang keupayaan masyarakat untuk berfikir secara kritik akan terbantut.

"Lama kelamaan orang nak berkarya pun takut. Kreativiti dan daya fikir kritis pun mati," katanya kepada Malaysiakini.

Ujang - atau nama sebenarnya Ibrahim Anon - hari ini memuat naik lakaran imej Zunar yang bergari tetapi dengan rantai yang terputus.

Bersama gambar itu Ujang menulis: "Potang semalam kawan den Zunar kono tangkap laie..... Kini di Malaysia profession kartunis dah jadi lobih bahayo daghi peghompak hasil negagho (Petang semalam kawan saya kena tangkap lagi. Kini di Malaysia profesyen kartunis sudah jadi lebih berbahaya daripada perompak hasil negara)."

Ia adalah tanda sokongan secara langsung Ujang kepada Zunar yang sudah ditahan dan didakwa beberapa kali kerana menghasilkan kartun yang mengkritik kerajaan serta beberapa tokoh pimpinan negara.

Terbaru semalam Zunar - atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque - ditahan lima anggota polis berpakaian biasa semasa majlis amal "Minum Teh Bersama Zunar" di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) di Kuala Lumpur.

Sekurang-kurangnya 1,000 naskhah kartun Zunar dan kemeja T mengandungi perkataan 'dedak' juga dirampas.

Hidup dalam kebimbangan

Bagaimanapun polis membebaskan kartunis Zunar dan empat yang lain menjelang tengah malam tadi selepas diambil keterangan selama kira-kira enam jam.

Kata Zunar, terdapat tujuh hingga 10 anggota polis pada satu-satu masa yang bertanya mengenai kartunnya - dari satu halaman ke halaman lain.

"Mereka mahu tahu siapakah watak-watak ini. Apa yang saya lukis, siapa yang taja kerja saya, syarikat apa di belakangnya...

"Saya ikut nasihat peguam saya dan memilih untuk tidak menjawab," katanya.

Menurut Ujang tindakan pihak berkuasa menjadikan kartun sebagai 'musuh' juga akan membuat masyarakat hidup dalam ketakutan.

"(Kalau berterusan begini) Kita tak boleh buat apa-apa pun.

"Kalau senyum sudah dianggap menghina, nanti kita senyum di pasar malam pun (mungkin boleh) kena tangkap. Kita hidup dalam ketakutan saja pula," katanya yang terkenal dengan kartun dengan dialog loghat Negeri Sembilan.

Ditanya sama ada dia tidak berasa bimbang memberi sokongan terbuka kepada Zunar, Ujang berkata, apa yang dinyatakan adalah hak kebebasan untuk seseorang berkarya.

"Nak tangkap saya pun, bukan dapat apa," katanya.

Dalam dunia penghasilan kartun, kata Ujang, ada beberapa kategori yang perlu difahami orang ramai.

Selain kartun slapstik, ada juga kartun editorial, nostalgia dan politik

"Dah memang namanya kartun politik, tentulah (kartun Zunar) sentuh politik.

"Sepatutnya ia tidak dilayan begitu. Tidak perlu serbu-serbu. Kita wajar terima dengan terbuka atas nama kebebasan bersuara. Kata, ini negara amalkan demokrasi," katanya.

Bagaimanapun Ujang menafikan beliau condong atau menyokong mana-mana parti politik.

"Saya menyokong kebebasan kartunis untuk berkarya dan mengkritik.

"Kok salah, fitnah, boleh la dakwa. Tapi kok main seghobu-seghobu ikut suko...itu tak demokratik la (Kalau salah, fitnah, bolehlah dakwa. Tapi hanya serbu ikut suka, itu tidak demokratiklah)," katanya.

Lihat Komen
ADS