Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Datuk Siti Nurhaliza berharap akan mendapat lebih banyak peluang membawakan lagu nasyid selepas berjaya mengungguli kategori berkenaan di majlis Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM22).

Siti berkata tidak salah bagi penyanyi beraliran muzik pop sepertinya menyumbangkan peranan dalam menyampaikan lagu-lagu berunsur dakwah kepada pendengar.

Justeru, penyanyi tersohor negara itu mahu meneruskan lagu-lagu nasyid dengan merakamkan sebuah album, atau sekurang-kurangnya mengeluarkan single terbaru.

"Saya nak teruskan, kalau tidak dapat satu album, single pun boleh. Nasyid boleh diterapkan dalam hiburan.

“Ini Siti ambil kira dari sudut tanggungjawab kepada agama kerana di situlah wujudnya peranan sebagai penghibur yang tidak semestinya hanya menyanyi lagu cinta saja,” katanya.

Penyanyi kelahiran Pahang itu ditemui pada majlis AIM22 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur malam semalam.

Anak kelima dari lapan beradik itu mengalahkan empat calon lain iaitu Suhaimi Saad, Caliph Buskers, Daqmie dan Lah Ahmad bagi kategori Lagu Nasyid Terbaik menerusi Mikraj Cinta hasil gubahan Hafiz Hamidun.

Siti beranggapan lagu berunsur ketuhanan mempunyai potensi besar untuk diketengahkan.

“Nasyid bukan genre yang sudah ketinggalan zaman kerana seandainya gubahan dibuat mengikut kesesuaian peredaran masa ia boleh diperdengarkan dalam apa jua keadaaan,” katanya.

Acara berkenaan turut menyaksikan Siti membolot empat lagi anugerah iaitu Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu Wanita (Menatap Dalam Mimpi), Susunan Muzik Terbaik dalam Lagu (Menatap Dalam Mimpi) dan Album Terbaik (Datuk Siti Nurhaliza Unplugged).

Untuk kategori baru wanita yang telah 13 kali mendominasi anugerah vokal terbaik itu turut membawa pulang Anugerah Pilihan Penyanyi Malaysia yang dipilih melalui undian peminat.

Biarpun menang besar pada majlis anugerah paling berprestij bagi mengiktiraf penggiat industri muzik Malaysia itu, ada dua kategori yang masih didambakan Siti hingga kini.

“Siti teringin benar nak menang trofi untuk kulit album dan video muzik terbaik. Dah sasarkan yang itu tapi nak buat macam mana tiada rezeki,” katanya.

Mencari pelapis

Kehebatan penyanyi yang digelar penyanyi nombor satu negara itu memang tidak perlu dipertikaikan lagi apabila lebih 20 tahun menyumbang bakti dalam medan seni suara.

Justeru, Siti berasakan sudah tiba masanya arena muzik tanahair yang diceburi mencari bakat baru yang sesuai dijadikan sebagai pelapis.

“Pasti suatu hari nanti akan ada pengganti mengambil alih tempat Siti kerana tidak selamanya akan berada dalam industri.

“Sampai waktu akan ada pelapis dan mungkin selepas 20 tahun lagi Siti akan serius dalam perniagaan pula atau berada di belakang tabir dan membantu industri kita,” katanya.

Lihat Komen
ADS