Romansa Krisdayanti mahu gegar Istana Budaya
Meskipun memegang julukan diva pop Indonesia, ini tidak menghalang Krisdayanti dari mengagumi biduanita negara seperti allahyarhamah Puan Sri Saloma.
Menjanjikan persembahan luar biasa pada konsert sulungnya Romansa, Krisdayanti berazam mahu menggegarkan pentas Istana Budaya menerusi segmen tribute untuk Saloma yang dijadual bermula dari 24 hingga 26 Februari tahun depan.
Kehebatan yang ada pada isteri allahyarham seniman agung Tan Sri P Ramlee itu diakui Krisdayanti berjaya memukau serta mencuri perhatiannya.
“Ke mana pun saya pergi, lagu P Ramlee sering dinyanyikan misalnya ketika mengadakan konsert Kridayanti Live in KL di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 2014 lalu.
“Saya mula tertarik dengan nama Saloma selepas membaca biografi P Ramlee dan dari situ tahu sedikit-sebanyak mengenai isterinya itu.
“Saya tidak jemu mengikuti kisah Saloma dan maklum wanita itu meninggal dunia pada usia muda selain kisahnya menjadi fenomena.
“Kalau tidak takkan sebuah restoran dinamakan bersempena nama beliau,” katanya.
Krisdayanti, 41, ditemui pada sidang media kedua konsert berkenaan yang diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Konsert berskala besar berdurasi tiga jam selama tiga hari berturut-turut itu akan dikemudi oleh Aubrey Suwito yang bertindak selaku pengarah muzik.
Romansa akan diisi lebih 25 lagu popular Krisdayanti sepanjang dua dekad perjalanannya bergelar anak seni. Antaranya Menghitung Hari, Hati Ini Telah Dilukai, Cinta, Pilihlah Aku serta pelbagai koleksi lagu barunya.
Untuk makluman, Krisdayanti tidak pernah mengadakan konsert selama tiga malam berturut-turut di sini, justeru Romansa wajar dilihat sebagai persembahannya yang lain daripada lain.
Ia turut mengundang beberapa bintang ternama yang namanya masih belum boleh dikongsikan kepada umum.
Selain mengimbau kenangan bersama Saloma, Krisdayanti berkata, segmen legenda itu turut memperingati penghibur yang pernah menjadi nombor satu Asia (1989) allahyarham Datuk Sudirman Arshad.
Bukan itu saja katanya, setiap malam Romansa akan dipenuhi empat lagi segmen termasuk rock.
Menurutnya, kerana sudah terbiasa mendengar lagu rock sejak kecil, penganjur turut memintanya menjiwai beberapa lagu popular genre itu yang berasal dari pemuzik tanahair dan seberang.
Selain itu, Krisdayanti akan menukar cara penampilannya empat kali pada setiap malam.
“Walaupun membesar ketika era rock sedang rancak mewarnai industri, persembahan ini tetap memberikan cabaran besar buat saya.
“Muzik Malaysia pernah merajai Indonesia satu ketika dulu seperti kumpulan Search dan Iklim.
“Dan tidak pernah dibuat sebelum ini, saya akan mengubah penampilan dengan muncul berpakaian ala bintang rock pada segmen itu nanti,” katanya.

