Fasa mengenal hati budi yang baru ingin disemai pelakon dan pengacara Neelofa tiba-tiba nampak tidak kesampaian apabila dikatakan wujud orang ketiga membabitkan hubungannya dengan Fattah Amin.

Neelofa bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila media cuba mendapatkan penjelasan mengenai aktres dan model berdarah kacukan Melayu - Australia yang dikatakan menjadi punca hubungannya dengan Fattah semakin menjauh.

“Macam mana hendak cakap, sebenarnya tidak adil bagi pihak Fattah kalau dia tidak berada di sini.

“Saya khuatir isu ini akan memburuk dan melukakan hati pihak lain malah pada masa sama fobia untuk memberi kenyataan,” katanya.

Pelakon yang membintangi drama 'Suri Hati Mr Pilot' itu ditemui pada majlis pelancaran Kad Muslimah Bank Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut anak kelahiran Kelantan itu, biarpun sedikit terlewat mengetahui kejadian sebenar, perkara terbabit tidak sedikit pun menjejaskannya.

“Sebenarnya saya baru saja mendapat tahu mengenai perkara itu

“Malah cara mengetahui juga bukan dalam cara yang sebaiknya tetapi peminat biasanya maklum karakter saya yang tidak sesekali akan tenggelam dengan perkara sebegini.

“Saya ni jenis orang yang segera teruskan hidup,” katanya.

'Bukan mudah di tempat saya'

Keakraban Neelofa dan Fattah bermula sejak mereka mula digandingkan dalam drama yang kerap menjadi trending di media sosial itu.

Spekulasi mengenai cinta lokasi antara Neelofa dan Fattah sudah banyak dihidu ramai meskipun tiada pengesahan secara terbuka pernah dibuat oleh mereka.

Drama yang pernah mencetuskan fenomena tidak disangka-sangka itu juga mewujudkan gelaran peminat buat hubungan Neelofa dan Fattah iaitu Loffatah.

Dan sedikit sebanyak penjelasan dibuat Neelofa itu pasti sudah cukup untuk menjawab segala khabar angin mengenai hubungan yang cuba dirahsiakan daripada umum sebelum ini.

“Biarlah perkara yang sebenarnya hanya diketahui oleh keluarga dan teman yang rapat dengan saya saja.

“Berada di tempat saya bukannya mudah, banyak hati perlu dijaga kerana berada di bawah perhatian umum sentiasa," katanya.