Harith dapat jemputan khas Sultan Johor, TMJ
Selepas dinobatkan gelaran 'individu paling kelakar di dunia', selebriti Harith Iskander berpeluang duduk semeja dan menjamu selera dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Pasir Pelangi.
Selain Sultan Ibrahim, Harith turut bertemu Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam sesi undangan tersebut.
Kedatangan Harith ke istana adalah untuk meraikan trofi kejayaan yang diraihnya menerusi pertandingan dianjurkan Laugh Factory pada 10 Disember lalu.
“Kami berbangga apabila diberi jemputan khas oleh Duli yang Maha Mulia Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor di Istana Pasir Pelangi hari ini (semalam).
“Pada ketika itu saya berpeluang menunjukkan Tuanku trofi Individu Paling Kelakar di Dunia yang diberikan oleh Laugh Factory,” tulisnya.
Kenyataan Harith itu dibuat melalui status dimuat naik di media sosial.
Kedatangan Harith ke istana turut ditemani isterinya, Dr Jezzamine Lim.
Harith, 50, yang juga pelakon dan pengacara berjaya mengalahkan empat pelawak lain sebelum bergelar juara.
Dia menewaskan pesaing sengit dari Filipina, Allex Calleja dengan mendahului 3.8 juta undian menerusi persembahan terakhir di Hullu Poro Arena, Levi, Finland.
Kemenangan anak kelahiran Johor itu membolehkannya membawa pulang wang sebanyak AS$100,000 (RM448,600), trofi dan siri jelajah di Amerika Syarikat.
Harith turut menyatakan penghargaannya apabila Sultan Ibrahim sudi meluangkan masa untuk berbual panjang selain duduk makan malam bersama.
“Tuanku dan TMJ meluangkan masa untuk berbual dengan kami dan turut berkenan menjemput kami duduk makan bersama.
“Terima kasih saya ucapkan kepada yang mulia dan TMJ kerana masa diluangkan dan menjadi sumber inspirasi bukan saja kepada saya tetapi seluruh rakyat Malaysia.
“Sebagai anak Johor, ini adalah saat yang paling dibanggakan dalam hidup saya setakat ini. Daulat Tuanku,” katanya.

