Richard Marx tenangkan penumpang mabuk
Penyanyi Richard Marx tidak menganggap dirinya sebagai wira walaupun berjaya menangani situasi apabila seorang penumpang mengganggu penerbangan Korean Air semalam.
Marx menjelaskan, tindakan itu bukan untuk meraih perhatian sebaliknya hanya menjalankan tanggungjawab yang dirasakan perlu.
“Ia bukan tindakan layak dipuji. Saya hanya buat perkara yang diharap dibuat oleh orang lain apabila mereka terjebak dalam situasi sama.
“Terima kasih kerana prihatin,” katanya.
Kejadian menakutkan itu dirakam isteri Marx, Daisy Fuentes - bekas pengacara MTV - yang kemudian memuat naik imej berkenaan di media sosial.
Menurut Daisy dalam kenyataannya, suaminya adalah orang pertama yang membantu menenangkan lelaki terbabit.
“Dalam penerbangan kami dari Hanoi ke Seoul seorang lelaki duduk di barisan hadapan tiba-tiba bertindak di luar kawalan dan mula menyerang krew penerbangan dan penumpang.
“Apabila dia mula menolak dan menarik rambut krew wanita @richardmarx menjadi orang pertama yang menenangkannya,” tulisnya.
Korean Air 480 pic.twitter.com/tHaJ0oMxPq
— Richard Marx (@richardmarx) December 20, 2016
Korean Air 480 pic.twitter.com/Clh7fiDcXl
— Richard Marx (@richardmarx) December 20, 2016
Korean Air 480 pic.twitter.com/Ai9U6CV3qA
— Richard Marx (@richardmarx) December 20, 2016
Dalam pada itu, Marx yang popular dengan lagu Right Here Waiting itu mengecam kegagalan krew penerbangan mengambil tindakan sewajarnya.
Memetik laporan AP, jurucakap Korean Air Cho Hyun Mook Air mengesahkan insiden itu berlaku ketika kapal Korean Air 480 sedang dalam perjalanan dari Hanoi ke Seoul.
Menurutnya, insiden itu telah disiasat dan didapati krew penerbangan bertindak sejajar dengan dasar syarikat penerbangan Korean Air.
Krew penerbangan menenangkan penumpang terbabit sebelum mengikatnya dengan tali. Lelaki itu kemudian diserahkan kepada polis sebaik kapal terbang mendarat di Lapangan Terbang Incheon.
Sementara itu, menurut polis di Incheon, Korea, penumpang yang membuat kacau di dalam penerbangan itu adalah lelaki berusia 34 tahun berasal dari Korea Selatan.
Lelaki terbabit mabuk selepas mengambil lebih dua gelas minuman keras.
Marx kemudian memberitahu menerusi akaun media sosialnya, dia dan isterinya kini berada dalam keadaan selamat.
“Daisy dan saya sudah selamat berada di rumah,” katanya.

