Ungkapan misteri dari Indonesia "Om telolet om" mendadak menjadi fenomena di medan media sosial sejak semalam, malah meraih perhatian luar biasa dengan tempiasnya terkena pada kalangan pemuzik antarabangsa dan deejay muzik tarian elektronik (EDM) Barat.

Frasa unik dan janggal untuk orang di luar Indonesia itu juga mencetuskan pelbagai reaksi, selain menimbulkan persoalan dari mana asal usulnya atau maksud sebenar "Om telolet om" itu.

Kemudian timbul pula andaian mengenai kemungkinan "Om telolet om" itu adalah sebahagian daripada agenda baru untuk mempromosi sesuatu festival, selain tidak kurang juga menganggap ia mungkin tajuk lagu.

Biar betapa peliknya "Om telolet om" itu, segelintir nama besar dalam EDM sudah mencuba nasib menggunakan ungkapan berkenaan hingga ada yang benar-benar sudah berhasil menamakannya sebagai judul lagu.

Tidak kurang juga ada yang menyangka ia adalah sejenis telur dadar.

Memetik laporan Billboard, antara nama besar dalam industri muzik EDM yang menggunakan ungkapan itu adalah DJ Zedd, DJ Martin Garrix, Dj Bassjackers dan DJ Showtek.

 

 

 

 

 

 

Sementara itu, menurut laporan dari media Indonesia, frasa itu merujuk kepada hon dibunyikan bas yang berada di sekitar Jepara, Jawa Tengah di Indonesia.

Fenomena itu bermula pada November lalu apabila sebuah klip video dimuat naik di Facebook menunjukkan sekumpulan kanak-kanak berjalan sambil menjerit dan pada masa sama membuat isyarat tangan (bunyikan hon) kepada pemandu bas.

Isyarat diberikan kepada pemandu bas itu juga boleh diterjemah secara umum ialah “Abang! Bunyikan hon, bang!” dan apabila pemandu menekan hon dan mengeluarkan bunyi yang bernada riang, mereka bersorak gembira.

Video itu meraih tontohan hampir dua juta kali.

Menurut portal itu lagi, ‘pemburu telolet' mengakibatkan kesesakan lalulintas di Jepara hingga polis terpaksa berkawal bagi menghalang pemandu dari membunyikan hon.