Laskar Pelangi dan hari Natal buat Uncle Thomas
Setiap manusia berhak meraikan kegembiraan dan kegembiraan wajar diberi kepada semua orang yang layak.
Kelmarin, 21 Disember 2016, cuaca cuaca agak redup. Hujan begitu ramah membasahi tanah di utara semenanjung.
Ketika kita disogok dengan pelbagai propaganda serta rumusan-rumusan geopolitik terhadap apa yang berlaku di bumi Syria dan kita cuba memberi perhatian dengan rasa belas.
Lalu kita sedaya upaya juga cuba menunjukkan terkesan dengan apa yang berlaku. Cara paling mudah ialah dengan meluahkan kejian, cacian serta meratap kesedihan.
Tidak ketinggalan, ada juga yang menzahirkan kegembiraan.
Tetapi di sebuah perkampungan kecil di Tawau, Sabah, seorang lelaki barangkali tidak sempat memuat naik luahan rasa beliau tentang Aleppo.
Sebabnya, di bawah bumbung usang yang baru dibaiki sekumpulan aktivis The Wakaf Buku, ada ratusan anak murid sedang menanti ilmu daripadanya.
Dia bernama Uncle Thomas.
Atas rasa cinta, belas juga tanggungjawab kepada masyarakat tanpa mengira kaum, agama serta batas negara, Uncle Thomas membangunkan sekolah itu dengan insiatif sendiri, tanpa bergantung harap kepada tuan-tuan besar.
Cuma sesekali, atas dasar keprihatinan orang tertentu, dapatlah dia sedikit sumbangan.
Setelah lama mengusahakan sekolah tersebut, beberapa pihak - seperti konsulat Indonesia - menghulurkan sedikit sumbangan. Begitu juga dengan orang tempatan.
Mungkin anda pernah menonton filem Laskar Pelangi atau Denias Senandung Di Atas Awan.
Filem-filem ini memperlihatkan bagaimana jerihnya membangun dan memajukan sekolah di pedalaman untuk mengimbangi semangat anak-anak yang cintakan ilmu.
Maka di Tunas Perwira, ia lebih kurang begitulah.
Anak buruh kasar
Uncle Thomas adalah seorang pendiri sekolah buat anak-anak yang samar identitinya sekitar kawasan Ranggu dan Andrassy.
Dia lelaki yang sangat mencintai ilmu dan menjadi pendidik sejak tahun 1970-an.
Sekolah Tunas Perwira wujud atas inisiatif sendiri dan dibantu isterinya atas rasa tangungjawab mereka terhadap anak-anak yang tercicir daripada aliran sekolah kerajaan berpunca daripada pelbagai masalah, terutama status kewarganegaraan.
Bermula di sebuah gereja, Uncle Thomas dan isteri membuka 'sekolah' dan menerima sesiapa saja sebagai pelajar, termasuk kanak-kanak beragama Islam.
Ia memang mendapat sambutan daripada kalangan ibu bapa yang terdiri daripada buruh dan pekerja ladang sawit.
Dengan pertolongan seorang lelaki tempatan, Benandis Budin, mereka mencari tapak baru dan ditakdirkan bertemu kawasan yang dirasakan sesuai. Di situlah bangunan Sekolah Tunas Perwira dibina dengan semangat gotong-royong.
Ia bangunan serba sederhana dengan tanah sebagai lantai dan zink usang serta terpakai sebagai bumbung.
Dua tahun pertama sekolah itu dibuka, cabarannya memang datang bertubi-tubi. Antaranya, persepsi orang kampung yang sukar menerima pembaharuan, sewa tapak yang tertangguh dan pelbagai halangan lain.
Namun empat tahun kemudian akhirnya konsulat Indonesia menyedari kewujudan Sekolah Tunas Perwira. Maka sedikit demi sedikit bantuan kecil-kecilan dihulurkan.
Bantuan itu termasuklah penghantaran beberapa guru dari Indonesia secara berkala dan bahan pembelajaran yang sesuai.
Di situ anak-anak diasuh dengan pendidikan seni budaya, seperti puisi Chairil Anwar.
Memberi sebanyak-banyaknya
Sekitar Mac 2015, saya dan isteri menghubungi seorang rakan bagi memaklumkan mengenai Sekolah Tunas Perwira. Dengan kerjasamanya serta aktivis The Wakaf Buku bermulalah fasa pertama bantuan Sekolah Tunas Perwira.
Dengan kerjasama pelbagai pihak banyak juga bantuan dapat dikumpul dan disumbangkan sehingga lantai sekolah tidak lagi sekadar tanah.
Dengan yuran pembelajaran sebanyak RM15 sebulan bagi setiap pelajar, tentu tidak banyak yang boleh dilakukan Uncle Thomas untuk Sekolah Tunas Perwira.
Suatu hari rakan saya, Alynn, ternampak Uncle Thomas membelek-belek beberapa bahan bacaan di sebuah kedai buku.
Kerana kekangan kewangan, Uncle Thomas meletakkan kembali bahan bacaan itu. Ia detik yang meluluhkan perasaan.
Melalui cadangan Alynn, kami terpanggil untuk menggerakkan Kempen Hari Natal Buat Sekolah Tunas Perwira. Harap-harap ia juga akan menggembirakan Uncle Thomas.
Kempen ini adalah sebagai sokongan untuk seorang guru yang banyak mengorbankan masa dan wang bagi melihat anak-anak orang lain berjaya.
Pendidikan adalah alat untuk membebaskan manusia daripada pembodohan, serta memerdekakan kemahuan.
Satu daripada cara yang difirkan boleh dibuat adalah mewariskan ilmu kepada mereka dengan menghadiahkan bahan bacaan - sama ada berbentuk fiksyen atau bukan - buat Sekolah Tunas Perwira dan Uncle Thomas.
Kepada yang berminat, lakukanlah ini:
- Pilih buku yang masih dalam keadaan baik
- Hantarkan e-mel ke alynnshasha@gmail.com atau hubungi Alynn Sharudin di Facebook
- Poskan buku berkenaan
Hiduplah untuk memberi yang sebanyak-banyaknya, bukan untuk menerima yang sebanyak-banyaknya. Jika anda pernah menonton filem atau membaca buku Laskar Pelangi, anda tentu kenal Pak Harfan. Itu adalah kata-kata Pak Harfan.
Maka, ayuh memberi, kerana dengan memberi kita saling berbagi cinta. Ia tentu membuat kita bahagia.
ARAFAT HAMBALI bekas penuntut seni halus yang gemar memerhati perkembangan seni budaya, juga penulis buku Kepak-kepak Malam Dari Sorga dan Sayap V

