Aktor Brad Pitt dilaporkan sedang memuktamadkan prosiding perceraiannya denngan Angelina Jolie dengan memfailkan dokumen tambahan di mahkamah semalam.

Pitt mendakwa isterinya “nekad tidak menghiraukan mahupun bersetuju dengan piawaian berkaitan kepentingan anak-anak.”

Pada masa sama, pelakon Fight Club itu bertegas Angelina ibu yang yang tidak mempunyai mekanisme mengawal diri, terutama apabila timbul hal berkaitan maklumat sensitif mereka.

Antara maklumat dirujuk Pitt ialah nama pakar terapi keluarga yang didedahkan pada dokumen difailkan sebelum ini.

Perkembangan terbaru mengenai perceraian Pitt dan Angelina muncul dua minggu selepas aktor itu memohon supaya perbicaraan segera diadakan bagi memuktamadkan prosiding perceraiannya ditolak.

Memetik laporan CNN, peguam Pitt berkata Angelina membantah perbicaraan dan mendakwa bekas suaminya hanya mahu melindungi diri sendiri dan bukannya menyelamatkan anak-anak mereka daripada perhatian umum.

Angelina memfailkan perceraian ke atas Pitt pada 19 September lalu dengan merekodkan perpisahan itu sebagai “pembubaran perkahwinan.”

Pasangan yang pernah dilihat sama padan dan diberi julukan Brangelina oleh peminat itu berkahwin pada 2014 selepas menjalin hubungan 10 tahun.

Pitt dan Angelina mengambil tiga anak angkat iaitu Maddox, Pax dan Zahara.

Kedua-dua selebriti itu yang dikatakan menjalin cinta lokasi pada sesi penggambaran Mr & Mrs Smith itu turut dikurnia tiga anak kandung iaitu Shilox dan pasangan kembar Knox dan Vivienne.

Pitt dan Angelina kini akur melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa hasil perjanjian tidak rasmi mengenai hak penjagaan pada Oktober.

Di bawah perjanjian sementara itu, Angelina berpeluang mengekalkan penjagaan fizikal manakala Pitt diberi kebenaran untuk melawat tetapi di bawah penyeliaan.

Pada November lalu, Jabatan Perkhidmatan Kanak-kanak dan Keluarga serta FBI mengakhiri siasatan ke atas Pitt yang didakwa melakukan penderaan anak.

Buat masa ini, Pitt masih meminta hak penjagaan anak bersama. Angelina pula meminta hak penjagaan fizikal ke atas semua anak-anaknya dan membenarkan Pitt datang melawat.

Perbicaraan berkenaan dijadual berlangsung Januari depan.