Sehari selepas Princess Leia, ibu pula meninggal dunia
Sehari selepas kematiannya anaknya Carrie Fisher, legenda Hollywood Debbie Reynolds pula menghembuskan nafas terakhir.
Reynolds yang terkenal kerana membintangi filem muzikal Singin' In The Rain pada tahun 1952, meninggal dunia akibat serangan strok pada usia 84 tahun.
Dia dibawa ke hospital selepas dilapor jatuh sakit pada Rabu.
Anak lelaki Reynolds, Todd Fisher yang mengumumkan berita kematian itu berkata, ibunya tidak dapat menanggung derita selepas pemergian kakaknya.
“Dia kini dapat bersemadi dengan tenang bersama Carrie dan kami amat berdukacita,” katanya.
Terdahulu, Fisher yang popular dengan membawakan watak Princess Leia dalam filem siri Star Wars meninggal dunia ketika berusia 60 tahun akibat serangan jantung ketika dalam penerbangan dari London ke Los Angeles, Jumaat lalu.
Memetik laporan BBC, Reynolds memuat naik kenyataan mengenai kematian anaknya melalui Facebook pada Selasa lalu.
“Terima kasih semua yang memberi hadiah dan menghargai bakat anak saya. Saya berterima kasih kepada doa anda yang mengiringinya hingga ke hembusan nafas terakhir,” katanya.
Semasa hayatnya, Reynolds sering membawa watak utama dalam kebanyakan filem muzikal dan komedi Hollywood pada 1950an hingga 1960an.
Dia pernah dicalonkan sebagai pelakon terbaik Anugerah Akademi selepas membintangi filem muzikal The Unsinkable Molly Brown.
Pada 2015, Reynolds menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup Screen Actors Guild dan ia disampaikan sendiri oleh anaknya, Fisher.

