Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images

Lagu Lelaki Teragung dendangan Dayang Nurfaizah muncul sebagai Juara Lagu ke-31 (AJL 31), menewaskan 11 lagu lain di pentas akhir yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Kemenangan lagu ciptaan Natasyah dan lirik oleh Iman Imran itu, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 berserta trofi serta baucar bernilai RM10,000.

Naib Juara pula dimenangi Misha Omar dan Hafiz Suip menerusi lagu duet mereka, Terimaku Seadanya hasil ciptaan Ajai dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM35,000 dan trofi.

Manakala tempat ketiga berpihak kepada Projector Band dengan lagu Sudahku Tahu ciptaan sepenuhnya oleh Razif, dengan menggondol wang tunai berjumlah RM20,000 beserta trofi.

Sementara itu,  Dayang turut mempertahankan Anugerah Vokal Terbaik sekali gus memenangi trofi dan wang tunai RM12,000. Ia adalah kemenangan kali ketiga berturut-turut buat anak kelahiran Sarawak itu bagi kategori terbabit.

Selain gelaran juara, Vokal Terbaik adalah anugerah yang turut menjadi rebutan finalis di AJL.

Bagi kategori Persembahan Terbaik yang dinilai menerusi hasil undian peminat atas talian pula diungguli oleh kumpulan Khalifah menerusi lagu Hang Pi Mana.

Pemenang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM12,000 dan trofi.

Sebanyak 12 lagu dipertandingkan di malam Juara Lagu ke-31 yang bertemakan Cerita Dalam Lagu.

Anugerah yang dianjurkan sejak 1986 oleh TV3 itu menjadi gelanggang untuk mengiktiraf pencipta dan penulis lirik dalam industri muzik tanahair.

Juri profesional peringkat akhir kali ini diketuai Azmeer dan terdiri daripada Siso, Tam Spider, Habsah Hassan, Edry Halim, Edry Hashim, Jay Jay, Pak Ngah, Azlan Abu Hassan dan Mokhzani Ismail.

Kebanyakan lagu dipertandingkan pada AJL 31 dinilai atas populariti selain beberapa nama bekas pemenang vokal terbaik AJL terdahulu turut beradu kemampuan seperti Dayang Nurfaizah, Hafiz Suip, Black dan Misha Omar.

Pentas AJL 31 turut mengiktiraf wajah baru seperti Aiman Tino, Sufian Suhaimi, Elizabeth Tan, Syamsul Yusof dan kumpulan Projector Band.

Terdahulu, AJL31 turut dilanda kontroversi apabila lagu Syamel, Hidup Dalam Mati menarik diri daripada peringkat Separuh Akhir Kedua Muzik-Muzik 31 selepas Ayai Ilusi mendakwa terdapat persamaan melodi dengan lagu ciptaannya Ku Kejar Bayangmu.

Tahun lalu, Akim & The Majistret membawa pulang gelaran Juara Lagu ke-30 menerusi single kedua mereka Potret ciptaan komposer Hang Nadim dan lirik oleh Kamar Empayer.

Pada AJL 31, pentas diserikan dengan gabungan empat pengacara iaitu Farah Fauzana, Fizi Hot FM, Awal Ashaari dan Sarimah Ibrahim

Berikut adalah pencalonan akhir untuk AJL 31:

Lelaki Teragung Dayang Nurfaizah (Komposer Natasyah / Lirik Iman Imran)

Terakhir Sufian Suhaimi (Komposer SirKhan & Rinkarnaen / Lirik SirKhan)

Sudah Ku Tahu - Projector Band (Komposer dan Lirik Razif)

Selamanya Cinta - Alif Satar & Shila Amzah (Komposer dan Lirik Shila Hamzah)
- OST Suri Hati Mr Pilot

Terimaku Seadanya - Misha Omar & Hafiz Suip (Komposer dan Lirik Ajai)
- OST Uda dan Dara

Ku Rela Dibenci - Aiman Tino (Komposer A.C.K Lirik : Riena)

Di Amaran Mama - Hazama (Komposer Ajai / Lirik Ad Samad)

Obses - Akim & The Majistret (Komposer dan Penulis Lirik Hang Nadim, Laq)

Setia - Elizabeth Tan & Awi Rafael (Komposer dan Lirik Faizal, Mike Chan dan Ezra Kong)

Kalah Dalam Menang - Mawi & Syamsul Yusof (Komposer Syamsul / Lirik Syamsul dan Anwar Fazal)

Hang Pi Mana - Khalifah (Komposer Harry /Lirik Yabang)

Anugerah Terindah - Black (Komposer Audi Mok dan Omar K /Lirik Omar K)

Lihat Komen
ADS