Aktres jelita India Parul Yadav dimasukkan ke hospital selepas diserang enam anjing liar di kawasan berhampiran kediamannya di Jogeshwari, Mumbai, kelmarin.

Menurut laporan, Parul dikatakan sedang membawa anjing peliharaannya bersiar-siar sebelum didatangi kumpulan anjing liar.

Malang menimpa Parul apabila dia cuba menyelamatkan anjing belaannya daripada diserang, menyebabkan dia pula menjadi sasaran anjing liar berkenaan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika kawasan itu dipenuhi orang ramai.

Walaupun lokasi berkenaan sibuk dengan orang awam, tiada seorang pun yang berani mendekati Parul untuk menyelamatkannya.

Menurut adiknya, Sheetal, seorang penduduk di situ akhirnya bergegas memberikan bantuan dengan menghalau anjing liar berkenaan.

Bagaimanapun ketika itu Parul sudah mengalami kecederaan akibat gigitan pada muka, tangan, kaki dan leher. Satu daripada luka itu adalah di kepala dan sedalam lebih 7.6 sentimeter.

Parul dibawa ke Hospital Kokilaben di Mumbai untuk rawatan lanjut serta diberikan suntikan vaksin.

Dan semalam, Parul dikatakan telah menjalani prosedur untuk merawat luka di kepala.

“Dia benar-benar berada dalam keadaan terkejut. Lukanya kini sedang dirawat dan menurut doktor yang memantau perkembangannya, Parul memerlukan banyak pembedahan,” kata Sheetal.

Sebelum meningkat popular dalam industri yang memerlukan pelakonnya fasih berbahasa Kannada, Parul pernah menjadi model.

Pada 2011, Parul muncul buat pertama kali di layar lebar menerusi filem Govinda Namaha. Filem berkenaan meraih kutipan tertinggi pada tahun itu.

Dalam filem itu, Parul memainkan watak Mumtaz, wanita Muslim yang jatuh cinta dengan Govinda (lakonan Komar Kumar).

Pembabitan Parul itu menyaksikan dia memenangi beberapa anugerah, termasuk pelakon baru Bangalore pada 2013.

Parul juga pernah membintangi filem Malayalam dan Tamil. Tahun lepas, dia membawa watak utama dalam fikem arahan Ram Gopal Varma, Killing Veerappan, yang memperkenalkannya kepada penonton Telugu dan Hindi.