Zainal: Ini masa relevan untuk Parti Hijau
Atas keprihatinan terhadap kualiti alam sekitar yang semakin merosot, penyanyi Datuk Zainal Abidin mencadangkan sebuah Parti Hijau ditubuhkan bagi membolehkan pelbagai isu berkaitan dibangkitkan ke peringkat lebih tinggi dengan berkesan.
Bagi Zainal keadaan semasa menunjukkan isu pencemaran alam sekitar terus menjadi ancaman kepada manusia.
Justeru, kata penyanyi Hijau itu, sebuah parti politik yang memperjuangkan ekosistem yang bersih dan sihat wajar ditubuhkan.
“Parti Hijau sangat relevan untuk diasaskan di negara ini pada waktu ini kerana saya melihat alam sekitar kita tidak dijaga dengan baik.
“Perkara membimbangkan itu boleh dilihat dari sudut kilang melanggar peraturan, pembakaran terbuka, kaedah pembuangan sampah dan penggunaan tong sampah yang tidak betul.
“Jadi, saya benar-benar berharap negara ini dapat mewujudkan sekurang-kurangnya satu parti politik yang dapat membela alam sekitar," katanya kepada Malaysiakini.
Zainal juga berharap Parti Hijau itu dapat menduduki sekurang-kurang satu kerusi di parlimen.
Pernah bersama-sama kumpulan Headwind, kecenderungan Zainal kepada alam sekitar dan kemanusiaan ketara apabila dia bergerak secara solo.
Antara lagu Zainal yang popular - selain Hijau - ialah Orak Arek, Tumandong Kito, Puteri, Telaga dan Damai IV.
Katanya, fungsi Parti Hijau adalah untuk membuka mata masyarakat tanpa mengira golongan mana agar sama-sama menjaga dan melindungi bumi daripada kemusnahan.
“Sekiranya diberi satu kerusi di parlimen, Parti Hijau boleh bertindak sebagai suara mewakili rakyat Malaysia berhubung isu pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.
Bagaimanapun, kenyataan Zainal itu dibuat hanya atas kesedaran dan tanggungjawabnya untuk melindungi alam sekitar dan bukannya atas kepentingan politik kepartian.
Malah pendapat dilontarkan juga tidak bermakna Zainal berasakan dirinya adalah individu paling layak untuk memegang tampuk kuasa parti dimaksudkannya itu.
“Biarlah parti itu nanti diketuai oleh orang yang lebih arif tentang isu sebegini, atau lebih muda, misalnya Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
“Untuk saya jadi ahli politik, memang macam jauh panggang dari apilah, tidak sesuai.
“Tetapi jika ditubuhkan parti itu, pengikutnya pasti ramai dan terdiri daripada golongan generasi Y dan Z kerana mereka sudah dididik dengan kesedaran alam sekitar sejak di bangku sekolah,” katanya.

