Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Fasha enggan botak demi jaga sensitiviti
Diterbitkan:  Feb 13, 2017 10:48 AM
Dikemaskini: 4:11 AM

Pelakon Fasha Sandha enggan membotakkan kepala untuk menjayakan watak Trisha dalam filem terbarunya, Badang bagi menghormati sensitiviti masyarakat.

Pun begitu, demi memastikan watak ditampilkan benar-benar hidup, Fasha sanggup mengorbankan rambut panjangnya untuk dipotong sehingga pendek.

Kata Fasha, dia terpaksa juga melakukan pengorbanan itu kerana terdapat babak dalam filem berkenaan yang memerlukannya berpenampilan sedemikian.

"Babak ini menunjukkan Tisha yang juga isteri kepada Badang telah dianiaya oleh abangnya Tai dilakonkan oleh Fauzi Nawawi.

"Tisha telah didera dengan kejam oleh abangnya dengan memukul, merentap dan menggunting sebahagian besar rambutnya. Kekejaman itu terserlah apabila perlakuan itu ditonjolkan," katanya dalam satu kenyataan.

Selain Fasha, turut membintangi filem yang diarahkan Profesor Datuk Dr. A. Razak Mohaideen itu ialah pengasas produk kecantikan Datuk Aliff Syukri, Fauzi Nawawi dan Fareez Fauzi.

Jelas pelakon yang mula dikenali menerusi filem Black Maria dan Berlari Ke Langit itu, kalau mengikut jalan penceritaaan asal, Tisha didera sehingga rambutnya dibotakkan.

"Bagaimanapun selepas memikirkan isu sensitif yang pernah berlaku apabila ada pelakon wanita membotakkan kepala untuk menjayakan watak dalam filem membuatkan saya mahupun pihak produksi filem Badang memikirkan rambut panjang saya dipotong pendek sudah memadai," katanya.

Fasha juga menafikan berasa menyesal mahupun terkilan apabila harus memotong rambut pendek seperti lelaki gara-gara mahu menjayakan watak.

"Sewaktu menerima tawaran untuk menjayakan filem ini lagi saya sedar akan pengorbanan besar yang harus dilakukan. Sebagai pelakon saya perlu komited dengan apa yang harus dilalui watak dijayakan.

"Saya tidak kisah apabila terpaksa melakukan pengorbanan ini asalkan watak dijayakan nampak benar-benar hidup dan penonton yakin dengan lakonan diberikan apabila mereka menonton Badang di pawagam nanti," katanya.

Lihat Komen
ADS