Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lisa jadi jurucakap seminar jenayah seksual kanak-kanak
Diterbitkan:  Feb 16, 2017 10:35 PM
Dikemaskini: 2:42 PM

Selepas dipilih sebagai duta baru Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) Malaysia, pelakon Lisa Surihani kini menjadi antara jurucakap bagi mempromosikan seminar berkaitan jenayah seksual kanak-kanak.

Selain Lisa, antara artis lain yang dipilih ialah Hartih Iskandar, Fahrin Ahmad dan Hunny Madu.

Isu jenayah seksual di kalangan kanak-kanak semakin membimbangkan apabila satu daripada 10 kanak-kanak menjadi mangsa jenayah seksual sebelum usia mereka mencecah 18 tahun.

Ekoran jenayah terhadap kanak-kanak semakin serius, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada tahun lalu mengambil inisatif dengan mengumumkan penubuhan sebuah pasukan petugas bagi mengkaji dan meneliti isu-isu berkaitan jenayah seks terutamanya jenayah rogol yang membabitkan kanak-kanak.

Sejajar dengan itu juga, satu seminar kebangsaan berkaitan jenayah seksual kanak-kanak akan diadakan pada 13 dan 14 Mac depan bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Seminar yang diberi nama 'Hentikan Jenayah Seksual Kanak-Kanak' itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai jenayah seksual kanak-kanak dan cara melindungi kanak-kanak daripada sebarang ancaman penjenayah itu juga disokong oleh pelbagai individu daripada lapisan masyarakat.

Dalam sebuah video kempen seminar berkenaan, penyanyi Hunny Madu melahirkan kebimbangannya tentang jenayah berkenaan kerana menurutnya, kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual akan menerima kesan seumur hidup.

Bagi pelakon dan pengacara, Fahrin Ahmad, beliau menggesa supaya seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menghentikan isu yang melanda negara ini.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput untuk menyertai seminar berkenaan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari Facebook seminar tersebut dengan membuat carian 'Hentikan Jenayah Seksual Kanak-kanak'.

Lihat Komen
ADS