Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kutcher bangun perisian kesan kanak-kanak mangsa seks
Diterbitkan:  Feb 17, 2017 3:50 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Pelakon Hollywood, Ashton Kutcher menggesa penggubal undang-undang Amerika Syarikat menyokong usaha untuk menghentikan perhambaan moden dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.

Mengakui pernah menyaksikan sendiri kanak-kanak dirogol menerusi laman sesawang, Ashton berkata ia adalah pengalaman paling dasyat pernah dilaluinya.

“Saya dah saksikan rakaman kanak-kanak yang sama umur dengan anak saya, diperkosa oleh lelaki Amerika yang menjadi pelancong seks di Kemboja," katanya ketika sesi pendengaran sidang Jawantankuasa Hubungan Luar Senat di Washington, D.C.

Pada masa ini, Kutcher sedang berusaha mencari pembiayaan untuk Thorn - sebuah organisasi anti pemerdagangan manusia yang diasaskannya - bagi membangunkan perisian untuk membantu pihak berkuasa menjejaki mangsa penderaan.

Kutcher berkata, teknologi terkini boleh digunakan bagi memerangi laman sesawang yang mempromosikan kanak-kanak bawah umur untuk tujuan eksploitasi seksual.

Kutcher turut menjelaskan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri turut pernah menghubungi Thorn beberapa tahun lalu bagi membantu menjejaki seorang kanak-kanak perempuan, yang diperkosa menerusi klip video di sebuah laman sesawang.

“Ia menghampakan saya. Ia juga menghantui saya setiap malam apabila tiba waktu tidur kerana tidak dapat melupakan kanak-kanak terbabit yang masih didera, dan pada hakikatnya jika saya mencipta sesuatu yang betul, saya benar-benar boleh selamatkan dia,” katanya.

Kutcher berkata, kebanyakan agensi penguatkuasaan undang-undang kekurangan kakitangan dan tidak mempunyai sumber mencukupi untuk memerangi pemerdagangan manusia.

Oleh itu, katanya, ia memerlukan bantuan teknologi yang dicipta Thorn.

Salah satu alat itu dapat membantu mengenal pasti 6,000 mangsa pemerdagangan manusia dalam tempoh enam bulan, yang mana 2,000 daripada mereka adalah di bawah umur.

Alat ini juga dapat membantu 4,000 pegawai penguatkuasa undang-undang di 900 agensi, katanya.

 

“Teknologi yang kami bina cekap, pantas dan tahan lama malah ia boleh bertambah pintar dari masa ke semasa,” katanya.

Lihat Komen
ADS