Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Nilai kualiti, bukan jumlah pengikut Instagram'

Untuk melahirkan pelakon berkaliber, kualiti seseorang artis perlu dinilai daripada bakat, bukan berdasarkan jumlah pengikut tertinggi di media sosial.

Pelakon dan pengarah, Fauzi Nawawi berpendapat senario itu kini sudah menjadi kebiasaan apabila populariti seseorang pelakon lebih diutamakan berbanding mutu lakonan.

“Dalam industri sekarang memang terlalu ramai pendatang baru dan sesetengah pihak pula hanya menginginkan pelakon yang memiliki pengikut Instagram sebanyak dua juta ke atas saja.

“Kalau pelakon yang mempunyai (cuma) 200,000 pengikut (di Instagram), mereka tidak dipandang pun. Sedangkan kualiti lakonan bukan datang dari jumlah pengikut di Instagram,” katanya.

Justeru, katanya, demi mengangkat industri filem negara, ruang sepatutnya dibuka lebih luas untuk golongan artis yang telah lama berkecimpung dalam industri ini.

"Saya berharap orang ramai akan memberi peluang dan ruang untuk artis lama macam saya. Saya ingin buktikan kami masih layak untuk berlakon di layar perak," katanya lagi.

Fauzi meluahkan perasaan terbuku di hati itu ketika ditemui pada majlis pratonton filem sulung arahannya, Pak Pong di Kota Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Menurut Fauzi, Pak Pong pada awalnya berdepan beberapa cabaran sebelum filem itu dapat disiapkan sepenuhnya.

Jelas suami kepada pelakon Lisdawati itu, dia perlu ‘menunggu’ sehingga lima tahun sebelum filem itu dapat ditayang di pawagam seluruh negara pada 23 Februari ini.

“Cabaran pertama adalah untuk menyiapkan filem yang sudah bertahun tertangguh dan kedua kami tidak mendapat sebarang pinjaman, cuma hanya gunakan duit sendiri.

“Bagaimanapun, selepas pulang dari umrah saya dimaklumkan perlu bertemu Finas untuk membentang kertas kerja. Dan selepas itu badan itu bersetuju memberi geran hingga mencecah ratusan ribu ringgit untuk kos kesan khas (CGI),” katanya.

Bikin filem sekuel

Dalam filem yang berdurasi hampir 100 minit itu, penonton bakal dihiburkan dengan aksi komedi fantasi.

Filem berkenaan mengisahkan cabaran ditempuhi Kadek (Badrul) dan Muda (Hairul Azreen) untuk mencari ayam hutan yang diidamkan isteri Muda.

Untuk mencari haiwan berkenaan, mereka perlu mempelajari ilmu Pak Pong iaitu sejenis kitab yang menjadi raja segala ilmu pengasih.

Muda hanya meminta ilmu untuk memikat ayam hutan demi memenuhi keinginan isterinya yang hamil dua bulan, manakala Kadek pula mengambil kesempatan menuntut ilmu pengasih bagi mencari isteri.

Selain Fauzi, antara pelakon yang turut menjayakan Pak Pong adalah Siti Saleha, Lisdawati, Datuk Eizlan Yusuf, Kaza, Ember Chia, dan Rahim R2.

Biarpun tidak berharap filem pertama diarahkan dengan tema fantasi komedi itu mampu memikat sejumlah besar penonton, Fauzi tetap memasang harapan agar Pak Pong dapat diterbitkan sebagai sekuel filem.

“Saya minat Lord of the Ring, The Hobbit dan berharap Pak Pong dapat jadi sekuel seperti filem sebegitu malah sinopsis versi Pak Pong kedua juga sedang disiapkan," katanya.

Bagaimanapun, sekiranya filem itu tidak mendapat sambutan positif, Fauzi menganggap sebagai satu cabaran bagi dirinya.

“Apa yang penting, kita cuba sedaya upaya buka minda penonton dengan mengubah arus cerita dipaparkan, janganlah asyik hidangkan mereka dengan cerita cinta saja,” katanya.

Lihat Komen
ADS