Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Bimbang dengan persepsi buruk masyarakat terhadap wanita yang gemar ke kelab malam menyebabkan penyanyi Shiha Zikir langsung tidak pernah menjejakkan kaki ke pusat hiburan itu.

Katanya, adalah lebih baik jika dia menghindari tempat sebegitu demi menjaga nama baik keluarga dan mengelak pandangan serong masyarakat.

“Shiha tidak mahu mengundang cemuhan sesiapa apatah lagi sedang tinggal bersama ibu.

“Pernah satu ketika sebuah akhbar memfitnah dengan menyatakan Shiha berada di kelab malam sambil memakai seluar teramat pendek dan merokok.

“Walaupun tidak pernah ke sana (kelab malam), orang berani tabur fitnah terhadap Shiha apatah lagi kalau benar-benar pergi,” katanya kepada Malaysiakini.

Shiha atau nama penuhnya Nurshiha Mohd Zikir, 29, ditemui pada majlis pelancaran muzik video Seperti Novel Cinta di Petaling Jaya semalam.

Penghasilan klip video itu ditunda lebih setahun kerana Shiha menjelaskan dia perlu menumpukan beberapa bentuk promosi penting.

Sejak mampu berdiri di atas kaki sendiri, pemenang tempat ketiga D’Academy Asia di Indonesia itu mengakui banyak melebih-lebihkan soal karier berbanding bersosial.

Shiha akui dia sebenarnya tidak gemar membazirkan masa, dan sekiranya ada peluang bersosial sekali pun dia akan meluangkan masa dalam tempoh yang singkat.

Putus kawan

Malah katanya, khuatir terjebak dengan pengaruh rakan sebaya turut menjadi faktor penyanyi itu menolak pelawaan untuk berhibur ke tempat seperti kelab malam.

Dan atas alasan itu, ada di antara rakan Shiha memutuskan hubungan dengannya kerana menganggap penyanyi itu berfikiran kolot.

“Shiha cuma pergi menonton live band di tempat terbuka tetapi tidak sesekali ke kelab malam kerana takut terjebak, manusia ada kalanya mudah terpengaruh apatah lagi diri ini tidak pernah merokok atau minum arak.

“Sebab itu ada rakan yang tidak mahu berkawan, tetapi tidak mengapa, kerana kualiti yang ada pada seseorang akan dinilai terlebih dahulu sebelum boleh menganggap dia sebagai teman rapat.

“Shiha memandang tinggi seseorang yang sentiasa beri semangat ke arah perkara positif bukan minta hisap rokok apabila tertekan, biar sedikit kawan asalkan berkualiti,” katanya.

Lihat Komen
ADS