Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Penerbit filem haram nafi cuba 'cantikkan' komunis
Diterbitkan:  Feb 27, 2017 11:40 AM
Dikemaskini: 3:46 AM

Penerbit Dekat Tapi Jauh yang diharamkan menjelaskan mereka menghasilkan filem itu bukan untuk menggambarkan keperwiraan atau kecantikan parti Komunis Malaya (PKM).

HummingBird Production sebaliknya berkata, mereka turut kesal atas penderitaan dan kehilangan nyawa semua pihak semasa konflik sebelum kemerdekaan.

“Sejarah Parti Komunis Malaya adalah suatu kelukaan yang dialami oleh anak tanah air ini, kita adalah anak Malaysia pada zaman sekarang.

“Dokumentari ini difilemkan atas harapan untuk membina jambatan komunikasi antara kedua-dua pihak dalam konflik tersebut,” kata HummingBird.

Dekat Tapi Jauh yang juga menggunakan tajuk Inggeris Absent Without Leave diharamkan tayangannya di Malaysia kerana didakwa berunsur komunis.

Penerbit bagaimanapun cuba memberi peluang penonton negara itu menontonnya secara percuma di Internet bermula esok sehingga 5 Mac ini.

Filem itu bagaimanapun telah dipertandingkan di peringkat antarabangsa, termasuk di Festival Filem Busan. Ia juga memenangi Anugerah Pilihan Penonton dalam Festival Filem Antarabangsa Singapura.

Di republik itu, tayangannya dibenarkan di panggung wayang bawah kategori 'NC16 - kandungan matang' untuk penonton berusia 16 dan ke atas.

'Kelukaan sejarah'

Dalam kenyataan di Facebook, HummingBird berkata selama ini penonton tidak berpeluang untuk memahami kesakitan yang dialami oleh semua pihak yang terlibat.

Tanpa persefahaman satu sama lain, kata penerbit itu lagi, menyebabkan rakyat Malaysia tidak dapat pulih daripada kesakitan tersebut.

“Dokumentari ini bertujuan agar persefahaman dan komunikasi antara kesemua pihak yang terlibat dan inilah sebab utama kenapa perfileman dokumentari adalah daripada kaca sudut emosi peribadi dan keluarga saya,” katanya.

Mereka juga berharap “kelukaan sejarah” tersebut dapat dipulihkan.

“Dokumentari Dekat Tapi Jauh sudah tentu ada kekurangannya dan kami bersedia untuk mendengar suara dan pendapat anda,” kata HummingBird.

Filem arahan pengarah muda Lau Kek Huat itu memaparkan perjalanan menjejaki sejarah keluarganya, termasuk peranan bapanya dalam pemberontakan komunis.

Lau pernah menerima Anugerah Filem Pendek Terbaik dan Anugerah Pengarah Terbaik di Taiwan Golden Harvest Festival.

Selain Dekat Tapi Jauh, beberapa lagi filem pernah menerima nasib sama susulan temanya yang berkaitan dengan perjuangan Komunis. Ini termasuk Lelaki Komunis Terakhir dan The New Village.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS