Paling Popular
Terkini

Penghibur 'ventriloquist' (bercakap tanpa membuka mulut atau suara dari perut) pertama negara, Syeikh Mahadi Ahmad Baladram, 70, atau lebih popular dengan panggilan 'Pak cik Jalud' meninggal dunia pagi ini akibat asma dan sakit tua.

Anak angkatnya, Aminuddin Ahmad Nasir, 29, berkata bapa angkatnya itu yang telah lama menghidap asma menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Taman Jaya, Cheras kira-kira 11 pagi tadi.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak, katanya ketika dihubungi Bernama.

Aminuddin berkata jenazah Allahyarham dikebumikan selepas Asar di Tanah Perkuburan Alam Damai, Cheras setelah disembahyangkan di Surau Al-Mustaqimah, Taman Jaya, Cheras.

"Saya mengenali arwah sejak berusia lima tahun, beliau seorang yang baik dan gemar bergurau," katanya.

Allahyarham mula dikenali selepas muncul sebagai finalis Bakat TV anjuran RTM pada tahun 1978 dengan patungnya yang bernama 'Jalud'.

Beliau juga pernah muncul dalam filem 'Mami Jarum' arahan Prof Datuk Dr Razak Mohaideen.

Jiran Allahyarham, pelakon Zulkifli Ismail menyifatkan bakat Allahyarham sangat istimewa dan sukar mencari penggantinya.

"Saya mengenali beliau dalam rancangan Bakat TV, tetapi tidak sangka arwah berpindah ke taman perumahan yang sama dengan saya sejak 15 tahun lepas," katanya.

Beliau berkata Allahyarham seorang yang mudah mesra dan kelakar serta sering muncul di majlis-majlis hari jadi rakan-rakan untuk menghibur kanak-kanak.

"Kini tiada lagi 'Pak cik Jalud', beliau tiada gantinya," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS