Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jackie Chan, Jet Li diajak berlakon filem Makassar
Diterbitkan:  Mar 6, 2017 1:37 PM
Dikemaskini: 5:45 AM

Dua nama besar industri perfileman, Jackie Chan dan Jet Li, ditawarkan berlakon dalam sebuah filem epik arahan seniman Makassar.

Filem berjudul Pamanca The Movie itu juga diharap dapat setanding dengan filem Lord of The Ring.

Bagaimanapun, peminat kedua-dua aktor itu mungkin tidak akan berpuas hati kerana mereka tidak diberikan watak utama, sebaliknya sekadar pelakon tambahan.

Produser Eksekutif Pamanca The Movie, Muhammad Basir, berkata untuk pelakon utama mereka tetap memilih bakat tempatan yang akan digabungkan di depan kamera bersama bintang antarabangsa.

Basir juga memberitahu proses menyaring pelakon akan bermula minggu depan.

"Filem bergenre epik sejarah ini mengangkat kisah budaya seni bela diri tradisional masyarakat Sulawesi Selatan yang kini hampir dilupakan.

"Di Sulawesi Selatan, seni bela diri ekstrem ini dikenal dengan sebutan Pamanca.

"Seseorang yang mahu mencuba nasib berlakon filem ini mesti memiliki pengetahuan mengenai persilatan dan membuktikan kemampuan mereka menahan senjata tajam," katanya dilapor Tempo hari ini.

Menurut Basir, kekuatan filemnya itu tertumpu kepada cerita para pejuang tempatan ketika Indonesia masih di bawah penjajahan Belanda.

Dia juga menjanjikan pengalaman menarik seperti filem Barat melalui pembikinan kesan grafik visual yang bermutu tinggi.

Setakat ini, kata Basir, Jackie dan Jet Li sudah dihubungi untuk ditawarkan membintangi filem itu.

Katanya, kedua-dua pelakon filem aksi itu juga diberi naskhah skrip untuk filem berkenaan untuk dinilai.

Menurut Basir, semua kru akan berlepas dari Jakarta ke Makassar pada minggu depan untuk proses awal pembikinan filem berkenaan.

Mengenai kos besar yang perlu ditanggung, Basir berkata, syarikat penerbit Rafindo Galesong mempunyai pendekatan tersendiri.

Namun dia tidak menjelaskan lebih lanjut maksud kenyataan itu.

Lihat Komen
ADS