Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Dr Soo Wincci beri galakan artis sambung pengajian

Penyanyi dan pelakon Dr Soo Wincci berharap lebih ramai golongan artis melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan tidak hanya bergantung kepada bakat semata-mata.

Menerusi kolaborasi dengan Open University Malaysia, Soo, 31 dipilih sebagai mentor untuk program motivasi dalam kalangan artis yang menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana.

Menurut Soo, tiga selebriti dicalonkan untuk mengikuti program bimbingan di bawah asuhannya selama dua tahun.

“Tugas saya sebagai mentor adalah untuk mendedahkan rahsia, petua dan teknik sebenar bagi menamatkan pengajian di peringkat Ijazah sarjana dengan cemerlang.

“Saya mahu mereka belajar sampai habis dengan memberikan galakan dan sokongan sepenuhnya,” katanya.

Tiga artis berkenaan adalah pemenang Malaysian Idol Musim ke-2, Daniel Lee, Dj dan penyanyi Winson Voon dan pengacara televisyen Brian Chen.

Pemegang Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Pengurusan Perniagaan itu percaya dengan program diadakan, golongan artis mampu berusaha lebih gigih untuk menggapai impian mereka.

“Saya mahu artis yang mengikuti program ini akhirnya memiliki sarjana dan kemudian terus menyambung pengajian mereka hingga ke doktor falsafah," kata bekas Miss World Malaysia 2008 itu.

Yuran program berkenaan adalah percuma tetapi setiap selebriti yang menyertainya dikehendaki menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan.

“Mereka harus menamatkan pengajian sarjana dalam tempoh dua tahun. Namun, sekiranya gagal berbuat demikian, artis berkenaan wajib membayar kos secara keseluruhan.

“Saya juga berharap program seperti ini memperoleh lebih banyak pendedahan dan diteruskan di masa depan, malah menjemput lebih banyak penyertaan daripada artis berbilang kaum khususnya Melayu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Soo akan menjelajah ke 30 Universiti di seluruh negara hingga Jun untuk program motivasi dan pada masa sama mempromosi buku pertamanya Inwincibble X: The Journey Inwincibble Personal & Strategies.

Lihat Komen
ADS