Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tiada kuda dalam iklan teh hijau Andy Lau
Diterbitkan:  Mar 23, 2017 6:13 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Iklan komersial dibarisi aktor terkenal Hong Kong, Andy Lau yang menyebabkan dia terjatuh dari seekor kuda ketika menjalani penggambaran, kini mula disiarkan untuk tontonan umum.

Bagaimanapun, iklan mempromosi minuman teh hijau itu tidak langsung memaparkan sebarang imej kuda yang ditunggang Andy.

Pada klip video asal, Andy memegang watak koboi dengan babak dia melangkah masuk ke padang bagi menunjukkan kehebatannya menembak.

Babak tersebut kemudian diubah pada iklan terbaru itu, menyaksikan Andy hanya duduk di atas sebuah kerusi kayu sambil minum dari botol teh hijau.

Media dari pelbagai akhbar China melaporkan klip berdurasi selama 30 saat langsung tidak mengandungi babak Andy menunggang kuda.

Ada yang beranggapan babak terbabit dipotong atau dikeluarkan dari versi asal bagi memastikan tiada peminat mengaitkan iklan itu dengan insiden malang menimpa Andy.

Versi penuh iklan berkenaan dimuat naik pada 20 Mac lalu.

Pada awal tahun ini, Andy terjatuh ketika menunggang kuda sewaktu menjalani penggambaran iklan berkenaan di Thailand.

Akibatnya, dia dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan selepas mengalami keretakan pada tulang pinggul dan kekejangan otot.

Bagi memastikan Andy sihat sepenuhnya, penyanyi itu mengabiskan 53 hari di hospital sebelum dibenarkan keluar pada 10 Mac lalu.

Lihat Komen
ADS