Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Didakwa hina ulama, Inul dilaporkan ke polis
Diterbitkan:  Mar 28, 2017 11:35 AM
Dikemaskini: 3:51 AM

Sebuah pertubuhan di Indonesia membuat laporan polis ke atas Inul Daratista selepas mendakwa penyanyi dangdut itu memuat naik komen di Instagram yang dianggap menghina ulama.

Menurut seorang anggota pertubuhan Advokat Peduli Ulama, Dahlia Zein, laporan dibuat pada pukul 3 petang semalam.

Katanya, tindakan Inul mengeluarkan kenyataan berhubung orang memakai serban melakukan perbuatan tidak bermoral telah mencemarkan maruah ulama yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat Islam.

“Kami dari Adovokat Peduli Ulama telah melaporkan Inul Daratista berhubung statusnya yang memfitnah orang pakai serban iaitu ulama sebagai golongan melakukan sex skype," katanya seperti dilapor media tempatan.

Sebelum ini, Inul atau nama sebenarnya Ainur Rokhimah, 38, terpalit kontroversi apabila memuat naik sekeping gambar bersama Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok.

Pada ketika itu, pemimpin berkenaan memenuhi undangan pada sesi ujibakat program realiti dangdut iaitu Dangdut Akademi Indosiar yang diterbitkan oleh sebuah stesen penyiaran di republik itu.

Pada kapsyen imej berkenaan, penyanyi Kocok-kocok itu menulis sesuatu berbaur rasis sekali gus mengundang kemarahan dan mencetuskan ‘perang’ antara Inul dan netizen.

Susulan itu, segelintir pihak mendesak agar penyanyi aksi goyang gerudi itu diboikot.

Sementara itu, Dahlia turut menggesa orang ramai berhati-hati ketika menggunakan media sosial dan tidak sewenang-wenangnya membuat penghinaan ke atas sesiapa pun.

“Laporan dibuat pada hari ini bagi mengingatkan masyarakat supaya menggunakan media sosial dengan berhati-hati, jangan sampai ada penghinaan ke atas ulama atau sesiapa pun,” katanya.

Lihat Komen
ADS