Melalui buku ini, pengarang membawa kita kepada pembacaan beberapa cerpennya yang disiarkan dan memenangi pelbagai anugerah.

Apa yang paling menarik ialah, apabila seseorang pengarang itu memberikan ulasan lengkap bagaimana proses setiap cerpen berlaku melalui struktur penciptaan cerpen itu sendiri iaitu plot, watak, latar, gaya bahasa dan tema.

PLOT.
Plot tidak semestinya menjadi terlalu konvensional dengan acuan permulaan-konflik-klimaks-peleraian tetapi penulis perlu berani menggunakan plot yang tidak kronologis, tidak logik hatta menentang struktur konvensional sekalipun.

WATAK
Nama yang dipilih untuk setiap watak bukan sesedap rasa, sebaliknya perlu mempunyai makna atas kewujudan watak itu sendiri.

Selain itu setiap watak yang ditonjolkan juga perlu mempunyai peranan masing-masing dan mengapa ia diciptakan. Sekiranya watak itu tidak perlu dan tidak ada kait mengait dengan cerita dan tema, watak itu perlu dibuang sahaja.

LATAR
Melibatkan semua deria. Hal ini menuntut sensitiviti deria melihat, menyentuh, merasa, menghidu, mendengar.

Sementara itu latar cerita asing yang dikemukakan oleh pengarang pula perlu dihayati sesungguhnya oleh penulis melalui pembacaan dan penerokaan.

GAYA BAHASA
Penulis kadang-kadang tidak perlu menggunakan bahasa yang komunikatif melainkan menggunakan simbol, metafora, personifikasi mahupun bahasa langka.

Untuk mahir, kita perlukan pembacaan yang luas selain membaca puisi-puisi untuk mempertajam dan menghaluskan bahasa.

TEMA
Mesti ada cerita. Mesti ada idea, mesti ada gagasan.

OLAHAN CERITA
Selalu, kalau kita membaca karya-karya Mawar Shafei kita akan melihat kehebatan beliau dalam mengolah cerita. Cerpen Mawar tidak pernah jadi satu cerita yang polos atau selapis, sebaliknya banyak menggunakan hiperbola, epistolary (gaya surat), fragmen dan dialog-dialog yang dipilih.

Membaca buku ini, fahamlah kita dan yakinlah kita bahawa menulis dan penulisan kreatif walau apapun genrenya adalah satu proses mencipta masalah.

Tajuk: Inilah Karangan Saya - Narasi Penciptaan Cerpen
Pengarang: Mawar Shafei
Penerbit: Penerbit UKM (2014).
Tebal: 165 muka surat


NOR RAIHAN ABU BAKAR Bekas wartawan yang kini berkhidmat sebagai pensyarah kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Melaka