Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Pelakon Siti Saleha berkata dia tergerak hati untuk mengakhiri zaman bujang selepas melihat adik beradiknya yang lain berjaya mengharungi alam perkahwinan.

Katanya, perubahan ketara dapat dilihat daripada aspek kematangan dan tanggungjawab mereka, terutama abangnya, Syamsul Annuar (Sam) yang juga merupakan vokalis kumpulan Bunkface.

Pengalaman itu menjadikan Siti Saleha berasa lebih teruja untuk melalui gerbang perkahwinan dan seterusnya menimang cahaya mata pertama.

"Saya lihat perubahan ketara pada adik beradik terutama Syamsul. Cara dia mengendalikan kehidupan dan tanggungjawabnya sekarang amat berbeza.

"Sebab itu saya teruja untuk melangkah ke alam perkahwinan dan menjadi seorang ibu," kata Siti Saleha atau nama penuhnya Siti Saleha Mohd Baharum, 27.

Pelakon itu ditemui pada majlis taklimat Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) yang diadakan di Sri Pentas, baru-baru ini.

Heroin drama popular 7 Hari Mencintaiku itu mengakui kehidupan selepas berkahwin akan jauh berbeza terutama dari segi kebebasan dalam memilih watak ditawarkan pihak produksi.

Katanya, selain mengurangkan aktiviti seni bagi memfokus kepada keluarga, adalah amat penting baginya untuk tidak melanggar batas seorang isteri.

“Tidak boleh bebas sangat untuk pilih watak, banyak pihak perlu dihormati terutama keluarga mentua dan bakal suami.

“Walaupun keputusan berada di tangan saya sama ada ingin berlakon atau tidak, suami akan dimaklumkan terlebih dulu mengenai sesuatu tawaran,” kata tunang kepada Lutfi Azhar itu.

Siti Saleha dan Lutfi - seorang pegawai kerajaan - mengikat tali pertunangan pada majlis tertutup di kediaman keluarganya di Klang, Selangor pada 26 November lalu.

Sementara itu, mengenai DFKL yang bakal berlangsung pada 9 April ini, Siti Saleha dicalonkan bagi kategori Aktres Pilihan dan Pasangan Pilihan bersama Syukri Yahaya bagi drama 7 Hari Mencintaiku.

Katanya, setiap pelakon memerlukan pengikitirafan bagi menandakan sejauh mana keberkesanan lakonan mereka boleh dinilai, sama ada oleh panel hakim atau menerusi undian penonton.

"Dicalonkan pun sudah mencukupi kerana setiap pelakon ingin diri mereka diiktiraf. Kalau daripada panel juri, ia menandakan lakonan kita bagus, bukan hanya kerana popular.

"Tapi kalau undian peminat pun bagus, sebab ia dibuat berdasarkan seseorang pelakon yang dekat di hati mereka yang sentiasa menyokong kerjaya kita," katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS